SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 42 atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mewakili negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand bakal menikmati insentif pengecualian yuran pengajian sekiranya berjaya membawa pulang pingat pada temasya berprestij itu.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata tawaran itu diberikan sebagai penghargaan universiti terhadap pengorbanan dan komitmen para atlet yang terdiri daripada 19 lelaki dan 25 wanita, selain bertujuan menyuntik semangat mereka menjelang kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.
“Hari ini kita menyaksikan 44 atlet UiTM, dua daripanya adalah kakitangan universiti mengambil bahagian dalam pelbagai acara dengan harapan mereka dapat menyumbang kejayaan kepada negara dan pulang dengan selamat.
“Jika mereka berjaya meraih pingat, universiti akan memberikan pengecualian yuran pengajian sehingga tamat pengajian, tanpa mengira peringkat atau kampus sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan bakat mereka,” katanya selepas majlis pelepasan kontinjen di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini.
Shahrin berkata sokongan universiti tidak terhad kepada insentif pengecualian yuran semata-mata, sebaliknya turut merangkumi bantuan kewangan awal sebagai wang saku serta penyediaan kemudahan latihan bagi memastikan persiapan atlet berada pada tahap optimum.
Dalam pada itu, beliau berkata UiTM turut membuka peluang kepada atlet berpotensi menjadi warga kampus melalui sistem kemasukan pelajar sama rata, tanpa mengira latar belakang sukan yang diceburi.
Shahrin berkata kemasukan laluan khas itu disertakan dengan bimbingan akademik dan sukan bagi memastikan atlet mampu bersaing di pentas antarabangsa sambil mengekalkan prestasi akademik.
“Latihan intensif, pemantauan berkala dan bimbingan melalui program mentorship akan terus diadakan bagi membantu atlet menghadapi cabaran sukan serta persaingan sengit dalam beberapa kejohanan termasuk Sukan SEA.
“Komitmen terhadap kesejahteraan atlet serta sokongan akademik dan kewangan ini menunjukkan UiTM komited melahirkan pelajar-atlet holistik yang mampu memberi sumbangan kepada sukan negara dan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Shahrin turut meluangkan masa bertemu dengan 44 atlet UiTM untuk memberi kata-kata semangat sebelum mereka berlepas ke Thailand pada Sabtu ini.
Kesemua atlet UiTM itu adalah antara 1,688 anggota kontinjen Malaysia, termasuk 1,166 atlet yang mewakili negara menerusi 50 jenis sukan yang dipertandingkan, menjadikannya penyertaan terbesar negara sejak Sukan SEA 2015 di Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial