WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perak Terus Diberi Kelonggaran Eksport REE Walau Moratorium Berkuat Kuasa Hingga 2027

03/12/2025 07:17 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Perak terus diberi kelonggaran untuk mengeksport unsur nadir bumi (REE) meskipun larangan eksport bahan itu berkuat kuasa sehingga 2027 berikutan negeri itu masih berada dalam fasa projek perintis.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Perak diberikan kebenaran khas oleh Kerajaan Persekutuan untuk berbuat demikian bagi mengelakkan pembazrian bahan yang telah diekstrak, dengan kelulusandiberikan dari semasa ke semasa sehingga dihentikan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

"Buat masa ini, kita (Perak) masih lagi dibenarkan dan kita pun sedang berusaha untuk membina industri NR-REE (unsur nadir bumi bukan radioaktif) ini, bukan sahaja industri huluan (bagi) mengekstrak, industri pertengahan untuk pisahkan unsur itu, dan yang penting ialah industri hiliran. 

"Kita nak bangunkan sendiri industri yang boleh membangun dan mengeluarkan hasil daripada REE," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 di sini hari ini.

Pada 13 Nov lepas, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah REE pada fasa jangka pendek bermula 2025 hingga 2027, sebagai sokongan kepada pembangunan industri di peringkat pertengahan.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran pihak luar yang ingin berkongsi teknologi, namun tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil hasil bumi negeri tanpa pembangunan bersama.

"Mereka boleh datang, berunding dengan kita dan mesti bangunkan bersama dan mesti ada perkongsian teknologi sebab kita ingin mengoptimumkan hasil bumi ini," katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Perak melancarkan dashboard perumahan negeri, Hartanah@Perak, iaitu platform pelaporan digital berasaskan geospatial yang memaparkan maklumat pembangunan perumahan secara terperinci, telus dan mudah dicapai.

"Dashboard yang dibangunkan melalui kerjasama UPEN (PerakGIS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ini memeta dan menyediakan profil projek perumahan meliputi perancangan, status pembinaan, lokasi, kategori perumahan serta kedudukan projek sakit dan projek terbengkalai.

"Melalui dashboard ini, kerajaan negeri dapat memantau pencapaian sasaran perumahan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih komprehensif, sekali gus menyediakan sumber rujukan yang jelas kepada PBT (pihak berkuasa tempatan), agensi teknikal dan orang awam," katanya.

Pelancaran hari ini diadakan sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025, edisi kedua program dwitahunan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penggunaan data spatial dalam pembangunan negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan