KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berhubung jumlah peruntukan bagi penganjuran Kejohanan WKF (Persekutuan Karate Dunia) Karate1-Series A Kuala Lumpur 2025 di Nilai, Negeri Sembilan pada Oktober lepas, perlu diteliti semula.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau telah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Dr K. Nagulendran yang mempengerusikan Jawatankuasa GPS, untuk meneliti perkara itu.
Beliau berkata keluhan disuarakan Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad seperti dilaporkan media semalam memiliki asasnya memandangkan kejohanan berkenaan bertaraf dunia dan melibatkan penyertaan atlet yang besar.
“Sebenarnya kita tidak menganaktirikan apa-apa sukan … saya rasa ada asas Datuk Nur Azmi tidak gembira kerana memang kita bergantung pada karate untuk bawa balik pingat dan (sukan ini juga) banyak membawa hasil buat negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepak Takraw Perpaduan Kaum 2025 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Nur Azmi kecewa selepas MAKAF hanya diluluskan peruntukan RM450,000, iaitu jumlah yang disifatkan tidak munasabah berbanding kos penganjuran sebenar kejohanan di Nilai itu yang mencecah RM1.5 juta, selain dana berkenaan masih belum diterima walaupun kejohanan sudah berakhir.
Nur Azmi berkata jumlah itu juga tidak setimpal dengan skala pertandingan yang bertaraf antarabangsa, membabitkan 1,200 atlet dari 82 negara selain terpaksa menolak tawaran WKF untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa tahun hadapan selepas tidak mendapat sokongan menganjurkan saingan itu.
Hannah berkata beliau sememangnya memahami situasi dialami MAKAF dan mahu GPS itu diteliti semula bagi memudahkan urusan menganjurkan kejohanan ditawarkan WKF tahun depan.
Dalam pada itu, Hannah berkata beliau juga telah meminta Jawatankuasa GPS membuat penambahbaikan dengan menyemak semula aspek atau perkara yang tidak boleh dituntut semula dalam GPS termasuk kos yuran penyiaran sesuatu kejohanan antarabangsa yang dianjurkan di dalam negara.
“Harga untuk penyiaran tidak ada dalam perkara yang boleh dituntut, tetapi memakan kos besar kerana mengikut standard antarabangsa, kadangkala badan dunia akan syaratkan penganjur untuk siarkan (kejohanan),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sukan sepak takraw perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun dengan keperluan menyediakan video asas supaya mereka boleh belajar teknik dengan cepat dan menyarankan setiap peserta KLAS pulang dengan sebiji bola supaya mereka terus berlatih di rumah.
Katanya, kesemua cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan selain mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memastikan KLAS dapat diperluas dan dijayakan di sekolah di seluruh negara.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan pula berharap agar penganjuran KLAS kali ini dapat mencungkil bakat baharu sepak takraw negara daripada kaum lain pada masa depan.
Sebanyak 147 pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Besi mengambil bahagian dalam KLAS hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial