
Seawal 6 pagi, suasana di tebing Sungai Kianggeh di sini sudah hidup dengan riuh-rendah suara peniaga yang sibuk membuka gerai masing-masing dan pelanggan pula mencuba nasib, tawar-menawar untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga serendah mungkin.
Di tengah-tengah keriuhan itu, bayu segar dari sungai membawa aroma enak pelbagai juadah tempatan yang masih panas menerjah deria bau, memenuhi ruang udara di Tamu Kianggeh ini dan membangkitkan selera pengunjung yang ingin bersarapan.
Sekalipun dikelilingi kemodenan, bagi penulis yang kali pertama menjejakkan kaki di pasar tertua di Brunei Darussalam ini, Tamu Kianggeh ibarat sebuah muzium hidup yang bercerita tentang sejarah warisan niaga masyarakat Melayu Brunei yang kekal kukuh berpaksikan tradisi sejak lebih enam dekad lalu.
pic-2
Peluang melawat dan membeli-belah di Tamu Kianggeh ini hadir ketika penulis menyertai bengkel kewartawanan serantau yang turut menghimpunkan pengamal media tuan rumah dan Indonesia pada Oktober lalu, membuka mata penulis akan bagaimana tradisi dipelihara di sebalik prasarana moden yang disediakan.
BERWAJAH BAHARU NAMUN WARISAN TETAP TERPELIHARA
Difahamkan Tamu Kianggeh wujud sejak 1960-an, bermula sebagai pusat pertemuan utama penduduk Kampong Ayer - satu-satunya perkampungan atas air di Brunei dan terbesar di Asia Tenggara - dengan mereka yang tinggal di darat untuk berjual beli serta bertukar-tukar hasil pertanian dan laut.
Masih mengekalkan ciri-ciri tradisional, pasar ini menerima wajah baharu selepas kunjungan mengejut Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang mencemar duli pada 2016. Dilaporkan baginda menzahirkan kurang perkenan melihat keadaan pasar tidak terurus, kotor dan berselerak, menjejaskan keselesaan pengunjung.
pic-3
Hasilnya, sebuah kompleks baharu dibangunkan dan bangunan setingkat ini beroperasi sejak Jun 2016, menempatkan 313 gerai jualan yang diasingkan mengikut kategori barangan jualan seperti ternakan hidup, sayur-sayuran, makanan dan barangan penjagaan diri serta kecantikan.
Teguran Sultan Hassanal Bolkiah nyata berbekas kerana ketika kunjungan penulis, Kompleks Tamu Kianggeh begitu bersih dan teratur di sebalik pelbagai barangan basah yang dijual, menjadikan pasar di bawah seliaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ini antara mercu tanda pelancongan negara Borneo itu.
Beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 6 petang, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai hasil pertanian dan laut seperti buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut segar dan kering, kuih-muih tradisional seperti kuih ampong (diperbuat daripada beras pulut) dan kuih kipang (diperbuat daripada beras dan gula) serta pelbagai kraf tempatan termasuk nyiru (tampi), takiding (beg rotan), rantai kunci dan poskad.
JUALAN AYAM HIDUP TARIK PERHATIAN
Namun, antara yang paling mencuri perhatian penulis ialah suasana di Blok F yang hanya beroperasi pada setiap Jumaat dan Ahad. Blok ini menempatkan peniaga menjual ayam dan itik hidup, selain haiwan peliharaan seperti kura-kura dan burung merpati yang menjadi daya tarikan tersendiri kepada pengunjung.
Kecekapan seorang peniaga ayam kampung hidup mengendalikan unggas itu menarik perhatian penulis untuk menghampiri dan mengetahui lebih lanjut tentang pasar tersebut.
pic-4
“Saya sudah berniaga lebih 20 tahun di Tamu Kianggeh. Sebelum ini, sewaktu muda, saya buat ini sebagai kerja sampingan sahaja,” Salleh Ghani, 65, membuka cerita.
Tidak lokek dengan senyuman, lelaki warga emas ini berkata di pasar itu pelanggan boleh memilih sama ada disembelih terus atau membawa pulang ayam hidup.
Bagaimanapun wajahnya bertukar muram seketika apabila ditanyakan tentang masa depan perniagaannya.
“Tiada orang muda yang mahu teruskan perniagaan sebegini termasuklah anak-anak saya. Mereka sudah kurang minat meneruskan kerja menjual ternakan hidup,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.
Menurut pesara kerajaan itu lagi, dia memperoleh bekalan ayam dan itik daripada pembekal tetap, dengan harga jualan sekitar BND10 sekilogram (bersamaan dengan RM32).
Namun berdasarkan pemerhatian penulis, mungkin orang muda tidak berminat untuk berniaga ternakan hidup - barangkali kerana kotor dan busuk - tetapi di segmen kraf, makanan dan minuman, terdapat ramai usahawan muda yang gigih berjualan.
Pengalaman unik di blok ternakan hidup itu turut mengingatkan penulis kepada Pasar Sentral Sibu di Sarawak, yang juga terkenal dengan jualan ayam hidup, namun bezanya di Tamu Kianggeh ayam itu masih bebas berkokok di dalam sangkar, bukannya dibungkus dengan kertas surat khabar seperti di Sibu.
Barangan basah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan di Tamu Kianggeh dijual murah dan lebih berpatutan berbanding di pasar raya atau kedai runcit memandangkan produk itu diperoleh secara terus daripada petani. Kesegaran barangan juga di tahap yang tinggi.
WARISAN PENJAGAAN DIRI DAN SET PENGANTIN TRADISIONAL
Selain hasil tani dan jualan ternakan hidup, Tamu Kianggeh juga memelihara warisan penjagaan diri masyarakat Brunei yang masih diamalkan hingga kini.
Pelbagai produk penjagaan diri dan kecantikan dapat ditemukan di blok B namun antara yang menarik perhatian penulis ialah minyak herba, minyak piasau (kelapa), hirup-hirupan (pes minuman kesihatan), pilis (sejenis jamu) serta pelbagai minuman herba tradisional untuk kesihatan ibu selepas bersalin.
pic-5
Lebih menarik, pengunjung juga boleh mendapatkan set pengantin tradisional yang terdiri daripada bedak sejuk, bedak luluk (bedak wangi) dan bedak tujuh warna, digunakan dalam upacara “berbedak” sebelum majlis perkahwinan yang diamalkan kaum Melayu Brunei.
Rakan media dari Indonesia, Eugenie Vina Novarina, 30, menyifatkan kepelbagaian jenis jualan dari sayur ke produk penjagaan diri menjadikan pasar itu unik kerana jarang dilihat di Indonesia.
“Pertama kali saya lihat ‘set bedak pengantin’ dijual di pasar seperti ini. Ia membuat saya berfikir masyarakat Brunei sangat terbiasa dengan gaya perkahwinan yang sederhana sehingga barangan tradisi itu mudah didapati di mana-mana termasuk di pasar,” katanya.
Bagi masyarakat Brunei, produk sedemikian bukan sekadar alat kecantikan, tetapi simbol budaya dan nilai warisan turun-temurun yang kekal hidup hingga kini.
Tamu Kianggeh jelas lebih daripada sekadar pasar. Ia merupakan cerminan kehidupan masyarakat Brunei yang menghargai tradisi, mengekalkan warisan turun-temurun dan mengimbangi kemodenan dalam setiap detik rutin harian.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial