WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Papagomo Mengaku Tidak Bersalah Buat Hantaran Palsu Di Facebook

01/12/2025 02:45 PM

SEPANG, 1 Dis (Bernama) -- Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu di Facebook pada Mei lepas.

Wan Muhammad Azri, 41, didakwa telah menggunakan akaun Facebook "Muhammad Azri" dengan menerbitkan penghantaran palsu berkaitan 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menarik sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 7.32 malam 28 Mei lepas yang kemudian dilihat pada 11.45 malam hari sama di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.

Bekas Exco Pemuda UMNO itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 

Timbalan Pendakwa Raya MCMC Faten Hadni Khairuddin mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk serahan dokumen.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali pula memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada MCMC sebelum ini, tanpa sebarang percubaan untuk tidak hadir ke mahkamah. 

“Saya merayu agar mahkamah memberikan pertimbangan sewajarnya, mengambil kira anak guam saya mempunyai enam anak termasuk anak bongsu yang merupakan kanak-kanak autisme.

"Sehubungan itu, saya memohon agar jaminan ditetapkan pada kadar yang rendah,” katanya.

Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian membenarkan Wan Muhammad Azri diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jan depan sebagai sebutan untuk serahan dokumen. 

Sementara itu, Muhammad Rafique ketika ditemui di luar mahkamah berkata tarikh perbicaraan kes anak guamnya ditetapkan dari 27 hingga 30 April depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan