KUALA TERENGGANU, 27 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga emas kerugian RM184,500 selepas diperdaya seorang lelaki melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 1 Okt lepas, mangsa berusia 63 tahun dihubungi suspek yang menyamar sebagai rakan kepada anak lelakinya yang telah lama menghilangkan diri disebabkan masalah hutang.
Beliau berkata suspek mendakwa anak mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan memerlukan wang untuk rawatan.
"Mangsa yang telah lama terputus hubungan dengan anak lelakinya termakan dengan cerita suspek dan memasukkan wang untuk kos rawatan di hospital berkenaan.
"Dalam tempoh 9 Okt hingga 24 Nov lepas, mangsa telah membuat 21 kali pembayaran ke beberapa akaun seperti diarahkan menggunakan wang simpanan hasil bekerja sebagai kerani," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa mengesyaki ditipu selepas percubaannya untuk bertemu suspek dan anak lelakinya di Kuala Lumpur gagal.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial