WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menyelami Budaya 'Kopi Dulu, Baru Kamu' Di Pontianak

27/11/2025 11:29 AM


From Rozlin Rusharmeen Rosmin

"Hei tak disangke

Tak disangke dolok (dulu) utan (hutan) menjadi kote (kota)

Ramai pendudoknye

Pontianak name kotenye (kotanya)…” 

Demikian antara lirik lagu rakyat Kalimantan Barat berjudul “Aek Kapuas” (aek dalam dialek Melayu Kalimantan Barat bermaksud air) yang bersenandung lembut di ingatan penulis tatkala menjejakkan kaki di Pontianak, sebuah kota yang menawarkan lebih daripada panorama indah Sungai Kapuas, sungai terpanjang di Indonesia.

pic-2

Di kota yang duduk tepat di garis Khatulistiwa ini, setiap langkah diiringi aroma kopi - pekat, panas dan menyegarkan - waima ketika matahari terpacak di ubun-ubun dan seharusnya minuman sejuk jadi pilihan. Tidak hairanlah bandar raya ini dikenali sebagai Kota Seribu Warung Kopi dan masyarakatnya hidup dengan denyut budaya “ngopi”.  

Selama lima hari empat malam berada di wilayah ini bersama-sama dengan 14 pengamal media dari Sarawak - inisiatif Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kucing dengan kerjasama syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia - penulis menyoroti gaya hidup “kopi dulu baru kamu” dalam kalangan masyarakat setempat yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu, Dayak dan Cina.

(Ungkapan “kopi dulu baru kamu” yang menjadi trend golongan muda di Indonesia dan Malaysia ini membayangkan kepentingan menikmati secawan kopi bagi mereka sebelum memulakan urusan harian.

 

1,000 WARUNG KOPI DAN BUDAYA ‘NONGKRONG’ 

Di sini, secangkir kopi bukan sekadar minuman, tetapi merupakan identiti, budaya dan ruang sosial tanpa tembok masyarakatnya. 

Sejak awal 2000-an, Pontianak sinonim dengan deretan warung kopi (warkop) terutamanya di sepanjang Jalan Gajahmada. Bermula sekitar 2018, kafe moden dan kopitiam pula mula tumbuh bak cendawan selepas hujan, sekali gus menambah warna kepada budaya ngopi kota ini.

Kini, dengan 1,035 warkop di seluruh bandar yang berpopulasi 682,000 orang (Sumber: Badan Pusat Statistik Indonesia bagi 2024), seseorang yang berjalan di pusat bandar akan melihat sekurang-kurangnya dua warkop di setiap 500 meter. 

pic-3

Warkop bagi masyarakat Pontianak adalah tempat mereka bertemu, berbincang pelbagai isu, beristirahat bahkan bekerja, sementara yang lain pula sekadar menikmati waktu malam kerana kota ini sentiasa “hidup” dengan kebanyakan warkop dibuka hingga awal pagi dan ada yang beroperasi 24 jam ala  “restoran Mamak” di Malaysia. 

Pempengaruh popular Indonesia Richard Erfany, atau Evan @hobbymakan.id dalam kalangan tiga juta pengikut di TikTok dan 1.2 juta di Instagram, mengakui budaya itu. 

Menurut anak jati Pontianak ini budaya “nongkrong” atau lepak di kedai kopi, diterap ke dalam jiwa warga wilayah itu sejak kecil. 

“Dari anak kecil sampai orang tua, semua minum kopi. Di sini, warkop tempat mengeratkan silaturahim. Semua lapisan masyarakat boleh berkumpul. Saat di warkop, kita semua sama,” katanya.

Malah katanya warga Pontianak lebih suka ngopi berbanding makan hidangan mewah jika keluar bersosial bersama-sama dengan teman.

“Mereka ngopi sampai lewat malam. Kalau di kota lain kedai kopi tutup 10 malam, di Pontianak boleh lanjut sampai 24 jam,” kongsinya.

Menurut Evan, faktor penyumbang kepada budaya itu termasuk harga kopi yang murah.

“Di Pontianak boleh dijumpai segala macam kopi kerana, disebabkan oleh permintaan yang tinggi, hampir kesemua jenis kopi yang ada di Indonesia - dari Jawa Barat, Aceh dan Bali - diterbangkan ke sini,” jelasnya dan berkongsi kebanyakan barista profesional yang bekerja di kota-kota besar Indonesia berasal dari Pontianak. 

 

WARUNG KOPI ASIANG – LEGENDA SEJAK 1958

Budaya kopi di Pontianak tidak terhenti setakat secangkir kopi kampung yang dibancuh menggunakan teknik turun-temurun di warung, sebaliknya berkembang seiring dengan perubahan generasi dan selera. Warkop tradisional kekal menjadi asas budaya ngopi dengan air kopi hitam dan kopi susu pekat menjadi identiti kota ini. 

Namun, kewujudan kafe moden sejak lewat 2010-an turut menyajikan menu kopi antarabangsa seperti ‘espresso-based drinks’, ‘cold brew’ dan ‘latte art’. 

Dalam ribuan warkop, kami dibawa ke Warung Kopi Asiang - warkop ikonik Pontianak. 

pic-4

Diasaskan pada 1958 oleh ayah Asiang, warkop itu bermula hanya sebagai gerai kecil di bawah pokok di Jalan Agus Salim di bandar raya ini, sebelum mereka berpindah ke sebuah kedai kecil di Jalan Merapi, kira-kira 100 meter dari lokasi asal.

Asiang, atau nama sebenarnya Yohanes Fendi, 69, mula membantu bapanya pada usia 17 tahun dengan menghidang kopi sambil perlahan-lahan mempelajari seni membru minuman itu. Kini, Asiang antara legenda pembuat kopi di Pontianak dan air tangannya ditagih oleh pelanggan. 

Warung itu menjadi “port” wajib penggemar kopi tradisional dan terkenal bukan kerana rasa kopinya yang kuat dan konsisten tetapi kehadiran Asiang yang masih cekap membancuh kopi tanpa berbaju, satu kelaziman dalam kalangan komuniti Tionghua setempat, lebih-lebih lagi dengan cuaca Pontianak yang panas. 

Menurut pelanggan setia Kopi Asiang, Ryan Arianda, 35, pelanggan sudah berbaris seawal 3 pagi, meskipun perniagaan warung itu hanya bermula pada 4 pagi. 

“Kalau bulan Ramadan, warkop ini buka juga untuk waktu sahur jadi orang memang akan penuh seawal 1 pagi lagi. Keramahan Asiang yang sentiasa menyapa pelanggannya menjadi antara tarikan untuk berkunjung lagi.

“Di warung ini bukan hanya kopi semata-mata, ada juga makanan seperti kuih-muih, telur separuh masak dan roti kahwin,” kata anak jati Pontianak yang sudah 11 tahun setia dengan jenama itu. 

Pemerhatian penulis mendapati warung berkenaan masih dibanjiri orang tempatan dan pelancong luar meskipun jam menunjukkan hampir 12 tengah hari. Harga kopinya bermula serendah Rp9,000 (bersamaan dengan RM2.30). 

 

PONTIANAK, KOTA KOPI YANG WAJIB DIKUNJUNGI

Selain Asiang, terdapat dua lagi warkop legenda yang sering menjadi tumpuan iaitu Aming Coffee yang terkenal dengan kopi susu dan kemeriahan suasana pagi, dan Weng Coffee, sebuah warkop moden tetapi mengekalkan sentuhan tradisional Pontianak. 

Ketiga-tiga warung kopi ini dianggap sebagai “segi tiga emas” oleh peminat kopi yang ingin merasai akar budaya ngopi Pontianak - dari rasa tradisional hingga persekitaran klasik yang mencerminkan identiti masyarakatnya.

Namun, dunia kopi Pontianak tidak terhenti di warung tradisional sahaja. Kota ini turut menyaksikan pertumbuhan pesat kafe moden dan hipster, terutama dalam kalangan generasi muda.

Antara yang menjadi sebutan ialah El Luna Café & Sport, sebuah kafe lima tingkat yang beroperasi 24 jam dengan konsep minimalis urban dan dilengkapi ruang komuniti berasingan seperti gim, pusat snuker serta sudut bergambar yang menarik, menjadikannya destinasi pilihan untuk pencinta kopi dan pemburu kandungan media sosial.

Kewujudan kafe-kafe baharu sedemikian menunjukkan bagaimana budaya kopi Pontianak terus berevolusi tanpa menyisihkan akar tradisinya.

Berbeza dengan Malaysia yang menyaksikan budaya kopi lebih sederhana, Pontianak menawarkan pengalaman mendalam, seolah-olah waktu bergerak mengikut rentak barista dan hirupan kopi.

Bagi pengamal media dari Sarawak yang mengikuti program lawatan ini, Pontianak bukan sekadar kota persinggahan, sebaliknya satu pengalaman yang merangkumi budaya, cita rasa dan jiwa masyarakatnya.

Menerusi penerbangan terus AirAsia dari Kuching yang hanya mengambil masa kira-kira 45 minit, Pontianak kini semakin dekat di mata masyarakat Malaysia, khususnya rakyat Bumi Kenyalang.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan