WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Diminta Siasat Syarikat Sebabkan Kerugian Pelaburan Hampir RM104.9 Juta

24/11/2025 05:17 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dipercayai menawarkan program pelaburan sehingga menyebabkan 276 individu mengalami kerugian hampir RM104.9 juta.

Setiausaha Agung Datuk Hishamuddin Hashim berkata MHO telah menerima aduan daripada kesemua mangsa yang mengalami pelbagai permasalahan setelah menyertai program pelaburan saham hartanah dan pelaburan Saham Boleh Tebus Syariah (i-RPS) dianjurkan beberapa syarikat tempatan. 

“Mangsa mendakwa pihak syarikat disyaki mengambil kesempatan, mencuri dan menggunakan modal pelaburan yang diberikan oleh mereka kepada syarikat bagi tujuan selain daripada yang diterangkan dan dimaklumkan kepada mereka. 

“Mangsa memohon agar SPRM dapat melakukan siasatan menyeluruh berkaitan permasalah yang dihadapi di bawah Seksyen 18 Akta SPRM,” katanya dalam sidang media ketika hadir membuat laporan rasmi bersama mangsa di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. 

Beliau berkata modus operandi syarikat-syarikat itu adalah dengan menggunakan individu terkenal bagi menyakinkan pelabur untuk menyertai mereka. 

“Mereka menggunakan penama hebat. Ada (dipercayai) menggunakan pengarah syarikat bergelar ‘Tan Sri’ dan penasihat syariah yang berwibawa menyebabkan pengadu tertarik untuk membuat pelaburan,” katanya.

Hishamuddin berkata mangsa sedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM termasuk penyediaan dokumen lengkap. 

“SPRM tolongan jangan (kenakan) NFA (tiada tindakan lanjut) dalam kes ini, buka kertas siasatan dan teliti dokumen berkaitan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan