KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun ketiga pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata tiga tahun Malaysia MADANI berdiri megah, dipimpin Perdana Menteri yang mengemudi bahtera negara dengan hikmah dan ketegasan sambil menyelami denyut nadi perjuangan rakyat tanpa goyah.
“Hari ini bukan sekadar tarikh, ia adalah catatan tawarikh.
“Tahniah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), semoga langkah kita terus teguh sederap selangkah, masa depan terus cerah, dan Malaysia terus gemilang di bawah gagasan Malaysia MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov 2022.
Pada 19 Jan 2023, Anwar memperkenal Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
MADANI diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) di pekarangan Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Dis ini.
Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), yang menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.
PACU, dalam kenyataan pada 19 Nov lepas, memaklumkan program berskala nasional dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia diadakan bagi memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus dan terus kepada rakyat.
Program Rancakkan MADANI turut menjadi platform mempertemukan rakyat dengan pemimpin negara antaranya melalui kehadiran Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan pimpinan tertinggi kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial