WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Lelaki Pandu Kereta Secara Berbahaya

23/11/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang dikesan memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas, sehingga kejadian itu tular melalui media sosial sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan berkata lelaki berumur 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 10.30 pagi tadi untuk memberikan keterangan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 8 pagi semalam. Pihak polis turut melakukan ujian saringan air kencing dan Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap individu tersebut,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata ketika disoal siasat berhubung kejadian itu, pemandu lelaki berkenaan memberikan alasan bahawa tayar kenderaanya pecah akibat terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya berdekatan, dia bertindak memandu terus kenderaannya untuk pulang ke rumah.

Video kejadian berdurasi satu minit itu dirakam oleh seorang penunggang motosikal dengan memaparkan sebuah kenderaan jenis Range Rover Velar dipandu dalam keadaan berbahaya dengan tayar belakang sebelah kanan pecah sehingga menampakkan rim.

Mohd Zamzuri turut meminta saksi yang melihat kejadian terbabit untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Sementara itu, Mohd Zamzuri dalam kenyataan berasingan petang ini berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine, manakala ujian pernafasan menggunakan mesin EBA pemandu terbabit adalah negatif.

Beliau berkata lelaki berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan