PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua 150 hospital awam dan lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara dilengkapi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjelang 2029.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelaksanaan menyeluruh EMR akan dibuat secara berfasa bermula tahun depan melibatkan 16 hospital diikuti 25 hospital pada 2027, 46 hospital (2028) dan 49 hospital pada 2029.
"EMR dilaksanakan melalui dua komponen utama iaitu Sistem Pengurusan Klinikal Berasaskan Awan (Cloud-base Clinical Management System) (CCMS) bagi klinik kesihatan dan Sistem Maklumat Hospital (HIS) bagi hospital, ke arah satu warganegara, satu rekod," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI bersempena Sambutan Jubli Perak Hospital Putrajaya (HPj) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dzulkefly berkata setakat ini sebanyak 160 klinik kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi CCMS dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 200 sebelum akhir tahun.
Beliau berkata menjelang 2029, lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer meliputi klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa di seluruh negara dijangka beroperasi menggunakan sistem tersebut.
"Klinik kesihatan ialah tulang belakang kepada penjagaan kesihatan primer negara dan sistem ini penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di peringkat komuniti," katanya.
Menyentuh mengenai klinik daif di Sabah, Dzulkefly berkata usaha membina semula dan menaik taraf fasiliti berkenaan telah bermula 2018 dan terus dipergiat.
Beliau berkata RM76.28 juta diperuntukkan untuk menaik taraf 154 klinik kesihatan dan klinik desa di Sabah bagi tempoh tiga tahun sejak 2023.
"Kami masih lagi dalam proses (naik taraf), boleh saya sebutkan daripada klinik-klinik yang (ada di Sabah) termasuklah klinik kesihatan dan klinik desa, 70 peratus (daripada 154 klinik) hampir telah selesai kita laksanakan naik taraf,” katanya sambil menambah pihaknya berharap dapat melaksanakan naik taraf itu secepat mungkin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial