WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Ketua Editor Berita Bernama S. Sivaselvam Meninggal Dunia

13/11/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Editor Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) S. Sivaselvam meninggal dunia pada kira-kira 3 pagi tadi.

Balu mendiang, Lalitha S. Nadarajah, memaklumkan bahawa Sivaselvam, 77, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Cheras di sini akibat masalah kesihatan.

Lalitha, yang juga bekas petugas Bernama, berkata jenazah mendiang akan disemadikan dalam upacara di Krematorium Kampung Tunku, Petaling Jaya hari ini.

Sivaselvam mula berkhidmat di Bernama pada 1 April 1968 sebagai pemberita kadet dan menyandang jawatan sebagai Editor Meja Khas ketika bersara pada 9 Nov 1989.

Selain Ketua Editor Berita, mendiang pernah memegang pelbagai jawatan lain antaranya Ketua Biro Ipoh, Timbalan Editor Berita Perkhidmatan Berita Am dan Ketua Penyunting Perkhidmatan Berita Luar Negeri.

Pada 2007, beliau dilantik secara kontrak sebagai Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris di Perkhidmatan Berita Ekonomi, sebelum berkhidmat sebagai Pengarang Perunding pada 2013 dan seterusnya Pegawai Latihan Kanan pada 2014 hingga 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan