WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ Melaka Periksa 8,180 Kenderaan Dalam Siri Operasi Bersepadu Pelbagai Agensi

13/11/2025 09:41 AM

MELAKA, 13 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memeriksa 8,180 kenderaan dalam enam siri operasi bersepadu utama yang dijalankan sepanjang tahun ini bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya kekal pada tahap optimum.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tindakan serta memastikan keberkesanan operasi dijalankan.

“Dalam tempoh operasi itu, sebanyak 1,285 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 1,877 notis saman dikeluarkan JPJ.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 194 notis atas pelbagai kesalahan teknikal dan trafik selain turut menahan seorang pemandu mabuk melebihi bacaan alkohol ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu bersama pelbagai agensi di Limbongan di sini malam tadi.

Siti Zarina berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menjalankan saringan terhadap 814 individu dan 18 daripadanya disahkan positif dadah, membabitkan 16 positif methamphetamine serta masing-masing seorang positif ganja dan heroin.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi bersama PDRM dan AADK, sebanyak dua motosikal disita kerana tidak memperbaharui cukai jalan lebih tiga tahun manakala satu lagi ditunggang warga asing tidak memiliki lesen memandu sah.

"Sebanyak 745 kenderaan diperiksa, 72 kenderaan diambil tindakan serta 193 notis saman dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain pihak AADK turut menyaring seramai 23 individu, namun tiada yang dikesan positif dadah,” katanya.

Sementara itu, JPJ turut melaksanakan pengurangan bayaran saman sebanyak 50 peratus bagi saman yang boleh dikompaun mulai 1 Nov hingga 30 Dis ini.

"Hingga 11 Nov, sebanyak 1,392 transaksi saman dijelaskan dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM180,160,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan