KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 55 warganegara Malaysia ditahan di luar negara sejak Januari hingga September lepas kerana disyaki terlibat sebagai “keldai dadah”.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata 50 daripadanya adalah lelaki manakala bakinya wanita.
“Mereka ditahan di 16 negara iaitu 10 individu di Indonesia; Singapura (sembilan); Kemboja dan Taiwan masing-masing enam; Thailand (lima); Belgium, Laos dan Macau masing-masing tiga; Hong Kong dan Korea Selatan masing-masing dua serta masing-masing satu di Filipina, Jepun, Jordan, Maghribi, Myanmar dan Norway,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata JSJN Bukit Aman memandang serius peningkatan kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan orang awam sebagai “keldai dadah” sepanjang tahun ini.
Hussein berkata hasil pemantauan JSJN mendapati sindiket dadah akan sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur pekerjaan atau latar belakang.
Beliau berkata sindiket turut dikesan merekrut mangsa melalui media sosial dan iklan kerja palsu dengan menyasarkan golongan belia, pencari kerja, pelajar serta individu berpendapatan tidak stabil.
Mangsa, katanya dijanjikan upah lumayan antara RM1,000 hingga RM10,000, termasuk tawaran tiket penerbangan dan penginapan bagi melaksanakan kerja mudah tanpa memerlukan sebarang pengalaman.
“Semua tawaran ini hanyalah umpan bagi memperdayakan mangsa membawa bagasi atau bungkusan yang sebenarnya mengandungi dadah berbahaya,” katanya.
Hussein berkata sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi antaranya menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, perabot kecil, makanan, peralatan elektronik dan menggunakan perkhidmatan kurier, selain menggunakan kaedah body packing dalam laluan tertentu.
Beliau berkata destinasi utama penyeludupan ialah United Kingdom, negara Eropah tertentu dan beberapa negara Asia Timur, seiring peningkatan penggunaan lapangan terbang serantau sebagai transit.
"Antara dadah yang lazim dibawa ialah methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi), ganja dan kokain, bergantung kepada laluan serta permintaan pasaran," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terperdaya dengan tawaran palsu dan segera melaporkan sebarang tawaran meragukan kepada pihak polis.
"Orang ramai juga diingatkan bahawa alasan 'tidak tahu kandungan bagasi' tidak diterima oleh kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang sangat tegas, termasuk hukuman mati dan penjara," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN 012-2087222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial