WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Murid Lemas: JPWPKL Siasat Pematuhan SOP Penganjuran Program Kolam Renang

08/11/2025 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan melaksanakan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran program sokongan keyakinan air, susulan kematian seorang murid lelaki berusia 11 tahun semalam.

JPWPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

“JPWPKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang kematian kerana lemas sewaktu menyertai sebuah program luar baru-baru ini. Bantuan awal dan sokongan telah diberikan kepada keluarga,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan jabatan itu, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah terbabit.

Murid lelaki berumur 11 tahun dari sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur itu, disahkan meninggal dunia semalam selepas dua hari mendapat rawatan setelah lemas ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur CP Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) i,tu pada hari sama kejadian berlaku.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan