WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelajar Disyaki Terlibat Dalam Letupan Di Masjid Sekolah Jakarta

08/11/2025 12:05 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Nov (Bernama) -- Polis Indonesia mengenal pasti seorang pelajar berusia 17 tahun sebagai suspek dalam kejadian letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 di Kelapa Gading, Jakarta Utara, yang mencederakan lebih 50 orang pada Jumaat. 

Ketua Polis Jeneral Listyo Sigit Prabowo berkata Polis Jakarta bersama unit antikeganasan Densus 88 sedang menyiasat latar belakang serta kediaman suspek.

“Maklumat awal menunjukkan suspek merupakan seorang daripada pelajar sekolah terbabit. Itu yang kami tahu buat masa ini, dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada petang Jumaat.

Beliau berkata suspek dan seorang lagi mangsa sedang menjalani pembedahan, manakala beberapa orang daripada 54 mangsa cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.

Penyiasat turut meneliti beberapa barangan yang dijumpai termasuk replika senapang bertulis “Welcome to Hell” dan “For Agartha”, merujuk kepada mitos dunia bawah tanah serta pistol mainan, bom buatan sendiri dan pemetik alat kawalan jauh.

Polis juga menyiasat laporan bahawa suspek dipercayai menjadi mangsa buli oleh rakan sekelas.

Menurut laporan agensi berita Antara, seorang pelajar mendakwa bom itu dibawa oleh rakan sekelas yang sering dibuli, dengan menyatakan tiga bom buatan sendiri ditanam dan dua daripadanya meletup, namun polis belum mengesahkan maklumat itu.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad yang melawat mangsa di hospital pada hari sama, turut mengesahkan suspek ialah pelajar berusia 17 tahun.

Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata Presiden Prabowo Subianto telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengarahkan agar semua mangsa diberi rawatan sebaiknya. 

Beliau juga berkata insiden itu menjadi peringatan agar masyarakat sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekolah serta kawasan kediaman.

Letupan berlaku di masjid sekolah yang terletak dalam kawasan perumahan Tentera Laut Indonesia, menyebabkan jemaah panik dan berlari menyelamatkan diri apabila asap tebal memenuhi ruang solat, lapor media tempatan.

Anggota Tentera Laut turut membantu memindahkan mangsa ke hospital, menurut jurucakapnya Laksamana Muda Tunggul.

Seorang guru, Budi Laksono berkata khutbah Jumaat baharu sahaja bermula apabila letupan berlaku sekitar 12.30 tengah hari waktu tempatan, menurut laporan portal Berita Satu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan