WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Asia Futsal 2026: Malaysia Diundi Dalam Kumpulan D Bersama Pasukan Terbaik Asia

05/11/2025 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan nombor lima dunia Iran serta dua lagi wakil Timur Tengah iaitu Afghanistan dan Arab Saudi dalam misi memburu slot ke pusingan kalah mati Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia. 

Ketua Jurulatih Skuad Futsal Harimau Malaya Rakphol Sainetngam memandang positif keputusan undian itu dan menganggap ia sebagai peluang terbaik untuk menguji kemampuan sebenar anak buahnya di pentas tertinggi Asia.

“Malaysia diundi dalam kumpulan yang membariskan pasukan terbaik di Asia. Iran, Afghanistan dan Arab Saudi, kesemuanya adalah pasukan yang kuat dan pastinya lebih kuat daripada Malaysia pada masa ini.

“Bagi saya, sebenarnya ini situasi yang positif kerana ia membolehkan Malaysia bersaing dan belajar secara langsung daripada pasukan terbaik di Asia. la adalah peluang penting untuk pembangunan kita,” katanya menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. 

Beliau berkata skuad negara tetap berhasrat untuk mencatat keputusan yang baik, selain menyimpan harapan agar mampu menghadirkan satu lagi ‘kejutan’ di pentas Asia.

“Kali ini, kami juga mahu mencapai keputusan yang baik. Secara peribadi, saya berharap kami dapat mencipta kejutan pada pusingan ini, sama seperti pada Pusingan Kelayakan Piala Asia 2026, tiada siapa menjangka kami akan sampai ke peringkat akhir.

“Saya sangat memahami betapa sukarnya cabaran ini tetapi sepanjang kerjaya kejurulatihan saya, saya sentiasa berjaya mencipta detik-detik yang tidak dijangka. Kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Piala Asia Futsal 2026 dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 27 Jan hingga 7 Feb 2026, dengan empat kumpulan melibatkan 16 pasukan bersaing merebut lapan slot ke pusingan kalah mati.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan