WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dilantik Semula CEO FINAS, Azmir Saifuddin Tekad Perkukuh Pembangunan Industri Filem

04/11/2025 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) badan itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Nov 2025 hingga 31 Okt 2027.

Ketika dihubungi Bernama, Azmir Saifuddin, 50, menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan semua Ahli Lembaga FINAS atas kepercayaan serta sokongan berterusan terhadap usaha mempertingkatkan industri filem negara.

“Saya amat terharu dengan pelantikan ini, namun ia bukan tugas mudah kerana masih banyak aspek yang perlu ditambah baik termasuk bantuan kepada industri, peluang pekerjaan, eksport kandungan dan kebajikan penggiat,” katanya.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada pindaan Akta FINAS dan pelaksanaan Dasar Filem Negara bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif serta perlindungan kebajikan kru dan tenaga kerja industri.

Menurutnya pindaan akta itu penting untuk memastikan fungsi FINAS lebih berkesan selaras perubahan industri yang dipacu teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), platform penstriman dan penghasilan kandungan digital.

“Dalam akta baharu ini kita akan masukkan perlindungan jelas untuk kru menerusi kontrak kerja, gaji, waktu penggambaran dan insurans. Insya-Allah ia akan dibentangkan di Parlimen tahun ini juga,” katanya.

Azmir Saifuddin berkata Dasar Filem Negara pula menetapkan perancangan jangka panjang termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI), strategi pembangunan industri, peningkatan kualiti penerbitan serta hala tuju menjadikan Malaysia hab kandungan filem di rantau ini.

Mengenai pencapaiannya dalam penggal pertama berkhidmat sebagai CEO FINAS, beliau berkata kerjasama badan itu dengan pengusaha pawagam dan penerbit filem membantu meningkatkan semula prestasi pecah panggung pascapandemik, sehingga kutipan filem tempatan mencecah RM180 juta tahun ini berbanding RM120 juta pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan