WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI Tumpu Pembangunan Syarikat Pemula R&D Berimpak Tinggi

03/11/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi bagi memperkukuh daya saing negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata strategi baharu itu penting bagi memastikan Malaysia muncul sebagai antara pencipta teknologi terunggul di rantau ASEAN dan berdaya saing di peringkat global.

“Cabaran utama negara ialah hakikat bahawa hanya 0.25 peratus daripada 1.1 juta perusahaan perniagaan di Malaysia yang aktif menjalankan R&D.

“Oleh itu, kerajaan perlu beralih kepada peningkatan jumlah syarikat pemula yang melaksanakan R&D berimpak tinggi dalam negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Chang berkata pembiayaan R&D perlu bertumpu kepada bidang-bidang strategik negara seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), bioteknologi dan kecerdasan buatan (AI) supaya penjanaan ekonomi yang setara diwujudkan.

Beliau berkata sebagai usaha merancakkan pembiayaan inovasi, kerajaan telah menggerakkan Dana Malaysia Science Endowment (MSE) dengan peruntukan RM20 juta pada 2026.

Chang berkata ia turut menarik penyertaan pelabur swasta berjumlah RM110 juta untuk bidang semikonduktor, perubatan, aeroangkasa dan teknologi mendalam (deeptech).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan