WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Rayuan Benarkan Rosmah Simpan Pasport Selama Tiga Bulan

31/10/2025 01:17 PM

PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk melanjutkan tempoh pelepasan pasportnya selama tiga bulan bagi membolehkannya melawat anak perempuannya di Singapura.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menyimpan pasportnya sehingga akhir Januari tahun depan.

Permohonan itu dikemukakan peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader di hadapan mahkamah hari ini dan permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha yang mewakili pihak pendakwaan.

Selepas prosiding, Akberdin memaklumkan kepada media bahawa permohonan lanjutan itu dibuat bagi membolehkan Rosmah menziarahi anak perempuannya yang melahirkan anak keempat awal tahun ini.

Akberdin menambah bahawa Rosmah perlu memulangkan semula pasport berkenaan kepada mahkamah pada 31 Jan tahun depan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Rosmah menyimpan pasportnya bermula 24 Julai tahun ini hingga hari ini.

Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah di Sarawak.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintah berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan penjara 10 tahun, serta denda RM970 juta, dengan 30 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda berkenaan sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang dijadualkan untuk pengurusan kes pada 3 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan