WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Temui CEO Nvidia Berkenaan Pembangunan AI Di Malaysia

31/10/2025 08:25 AM

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) untuk membincangkan mengenai pembangunan Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia.

Huang, yang dijangka tiba di Gyeongju pagi ini, akan bertemu dengan Anwar, bersama-sama dengan Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.

Huang dan Yeoh dijangka akan menyampaikan perkembangan mutakhir kepada Perdana Menteri mengenai kemajuan pembangunan infrastruktur AI bernilai RM10 bilion di Malaysia, yang telah ditandatangani oleh kedua-dua syarikat pada Julai lepas.

Awal pagi ini, Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan mengalu-alukan semua pemimpin ekonomi APEC termasuk Anwar, diikuti dengan sesi foto antara kedua-dua pemimpin.

Perdana Menteri turut dijadualkan untuk menyampaikan pandangan Malaysia semasa dialog pemimpin ekonomi APEC, dengan tumpuan kepada kepentingan keterangkuman dalam mengukuhkan rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama serantau bagi mencapai pembangunan yang mampan.

Selepas makan tengah hari, beliau akan bertemu dengan Gabungan Perniagaan APEC Amerika Syarikat, diikuti dengan pertemuan dengan Namhae Chemical Corp dan JS Link, secara berasingan.

Namhae Chemical, yang merupakan salah satu pengeluar baja terbesar, menghasilkan lebih daripada 50 peratus baja pertanian di Korea Selatan.

Manakala, JS Link adalah syarikat bioteknologi berasaskan genom, yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan analisis genom di Korea Selatan serta di peringkat antarabangsa. 

Anwar kemudian akan menghadiri makan malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC sebelum menyimpulkan hari tersebut dengan sesi terakhirnya bersama media.

Malaysia merupakan antara 12 negara anggota yang mengasaskan APEC, bersama dengan Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Pada masa ini APEC terdiri daripada 21 ekonomi, merangkumi hampir tiga bilion populasi, 62 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan