WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Agong Terima Menghadap PM, Dipersembah Hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

30/10/2025 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam memaklumkan bahawa sebanyak 80 dokumen hasil diterima dan diluluskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Dokumen berkenaan termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menurut PMO satu lagi kejayaan penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan