KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu keputusan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung permohonan melanjutkan kontrak penganjuran MotoGP Malaysia yang akan tamat tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata secara prinsipnya kerajaan bersetuju untuk memperbaharui kontrak itu, namun KBS perlu terlebih dahulu mengemukakan maklumat terperinci mengenai aspek penganjuran kepada MOF bagi pertimbangan lanjut.
“Saya sudah bertemu pihak Dorna Sports (pemegang hak komersial perlumbaan) dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak tersebut.
“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan lazimnya memerlukan data bagi memastikan perbelanjaan menganjurkan MotoGP bukan sahaja berbaloi, malah mampu memberikan pulangan ekonomi kepada negara.
“Seperti yang kita tahu, penganjuran MotoGP membuka banyak peluang pekerjaan. Tahun lepas, kira-kira 4,000 orang mendapat manfaat daripadanya. Tahun ini pula, jualan tiket melebihi 90 peratus, manakala pembelian tiket oleh pelancong asing turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja meninjau projek naik taraf Kompleks Sukan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shariman Hanif memaklumkan pihaknya kini berada pada peringkat akhir rundingan bersama Dorna Sports berhubung tempoh kontrak baharu penganjuran GP Malaysia.
Menurutnya butiran lanjut mengenai tempoh kontrak, sama ada untuk lima tahun terus atau dalam format 3+2, hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan rasmi.
Penganjuran MotoGP GP Malaysia 2025 yang berakhir Ahad lepas mencatat kehadiran lebih 190,977 penonton sepanjang tiga hari acara berlangsung di SIC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial