Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12 yang bakal berlangsung dari 30 Okt hingga 2 Nov ini, dijangka memacu 20 inisiatif bersama, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sejarah penganjuran forum pertahanan serantau itu.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) Datuk Muhammad Ammir Haron berkata antara inisiatif itu termasuk 10 kertas konsep, garis panduan dan protokol yang akan memperkukuh kerjasama strategik antara negara anggota, pelaksanaan empat eksesais maritim ASEAN serta satu latihan tambahan, selain kenyataan dan deklarasi bersama.
“Inisiatif Persidangan Kerjasama Industri Pertahanan ASEAN dengan satu sesi tambahan yang menumpukan kepada pembangunan industri pertahanan serantau turut diadakan. Selain itu, mesyuarat kali ini memperkenalkan Observership Programme yang menyaksikan Turkiye dan Jerman sebagai negara pemerhati, sekali gus memperluas lagi jangkauan diplomasi pertahanan ASEAN ke peringkat global,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata kesemua inisiatif itu menggambarkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kerjasama keselamatan di rantau Asia Tenggara, selaras dengan prinsip ASEAN yang menolak konfrontasi dan menekankan dialog serta persefahaman bersama.
Justeru, Muhammad Ammir berkata ADMM dan ADMM-Plus kali ini akan menjadi antara yang paling signifikan sejak penubuhannya pada 2006.
Dalam pada itu, beliau berkata kesemua 11 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste yang baharu diterima sebagai anggota penuh, telah mengesahkan kehadiran mereka pada mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Selain itu, lapan negara rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand turut mengesahkan kehadiran.
“Kekuatan ASEAN khususnya Malaysia adalah keupayaannya menyediakan suasana selamat dan dipercayai bagi membolehkan kuasa-kuasa besar berdialog tanpa tekanan geopolitik dengan Malaysia kekal dengan prinsip berkecuali secara berprinsip.
“Malaysia kekal tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar tetapi tetap tegas dalam isu-isu kemanusiaan seperti Gaza. Dasar ‘hedging’ yang diamalkan Malaysia juga membolehkan hubungan baik dikekalkan dengan semua pihak, termasuk dari segi keselamatan dan ekonomi tanpa perlu memilih blok kuasa tertentu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Ammir berkata persiapan bagi kepengerusian Malaysia telah bermula pada awal tahun ini dengan penyelarasan dilakukan di bawah konsep “Whole-of-Government, Whole-of-Society” (WOGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Beliau berkata MINDEF mengetuai pelbagai siri mesyuarat bersama rakan sejawat ASEAN dan negara-negara Plus, dibantu rapat oleh Kementerian Luar serta beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.
“Antara persiapan utama ialah Retreat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang diadakan di Pulau Pinang pada 26 Feb lepas dan kesemua 10 Menteri Pertahanan ketika itu bersepakat mengenai hala tuju strategik pertahanan rantau ini dengan sesi susulan melibatkan pegawai kanan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan di Desaru pada 24 dan 25 Sept lepas,” katanya.
Mengulas mengenai bidang tumpuan dalam ADMM kali ini, Muhammad Ammir berkata ia meliputi keselamatan siber, keselamatan maritim serta penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor pertahanan yang dilihat bakal membentuk landskap baharu keselamatan rantau ini dalam masa terdekat.
“Serangan siber kini berlaku hampir setiap hari, ditambah pula dengan isu Critical Underwater Infrastructure (CUI) seperti kabel komunikasi bawah laut turut menjadi perhatian kerana insiden pemutusan kabel mampu menjejaskan kestabilan ekonomi digital negara.
“Dalam bidang kecerdasan buatan (AI) pula, Malaysia bersama 10 negara ASEAN telah bersetuju membentuk dasar serantau mengenai etika penggunaan AI dalam pertahanan bagi memastikan teknologi tersebut digunakan secara bertanggungjawab dengan prinsip ‘human-in-the-loop’, dengan keputusan akhir tetap dibuat oleh manusia, bukannya mesin,” katanya.
Muhammad Ammir menegaskan kestabilan keselamatan adalah prasyarat kepada kemakmuran ekonomi negara, terutama melibatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Biru yang sedang dirangka kerajaan.
“Hubungan ekonomi tidak akan berkembang tanpa keselamatan yang kukuh. ADMM dan ADMM-Plus bukan sekadar forum diplomatik, tetapi platform untuk memastikan rantau kita kekal aman, stabil dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial