WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perjanjian Perdagangan AS Tingkat Keyakinan Eksport Malaysia, Perkukuh Kedudukan Serantau

28/10/2025 06:56 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perjanjian perdagangan timbal balas baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) merupakan langkah positif ke arah meningkatkan kejelasan hala tuju eksport, keyakinan pelaburan serta pengaruh Malaysia di peringkat serantau, kata rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

 Beliau berkata menerusi perjanjian itu ia meletakkan Malaysia pada kedudukan perdagangan yang lebih kukuh dan stabil, di samping memperteguh peranannya dalam rantaian bekalan global.

“Perjanjian ini dapat memastikan tarif yang lebih stabil dan akses sebenar bagi eksport industri dan pertanian serta mengehadkan siling tarif AS yang sebelum ini berubah-ubah selama bertahun-tahun,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Pada 26 Okt 2025, Kuala Lumpur dan Washington menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama perdagangan dan rantaian bekalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur.

Innes berkata kerangka perjanjian itu mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih telus dan terselaras, di samping menyepadukan piawaian Malaysia dengan amalan global bagi meningkatkan daya saing negara.

Katanya Malaysia mungkin akan menyesuaikan beberapa peraturan melibatkan aspek keselamatan, kawalan eksport, tapisan pelaburan dan penguatkuasaan terhadap pengelakan cukai supaya seiring dengan piawaian AS.

Mengulas lanjut, beliau berkata perjanjian itu juga selaras dengan agenda Malaysia di bawah ASEAN dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), sekali gus memperluas laluan eksport dan membuka peluang baharu dalam sektor perindustrian serta teknologi tinggi.

“Dari perspektif serantau, perjanjian ini selaras dengan strategi Malaysia di bawah ASEAN dan RCEP.

“Kerajaan sedang berusaha memperluas laluan eksport tanpa keluar daripada rangka kerja Asian, dan perjanjian ini menunjukkan Malaysia mampu melakukannya, iaitu bekerjasama dengan Washington sambil kekal dalam ekosistem rantaian bekalan Asia,” kata beliau.

Perjanjian itu juga membuktikan kemampuan Malaysia untuk berinteraksi dengan ekonomi utama dunia sambil mengekalkan keseimbangan dalam ekosistem perdagangan serantau, katanya.

Ia turut memperlihatkan pendekatan pragmatik negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, memperdalam hubungan industri, serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Dengan memastikan kestabilan tarif dan akses berterusan ke pasaran utama, Malaysia kini berada pada kedudukan sebagai rakan dagang yang dipercayai dan berpandangan jauh, walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, kata Innes.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan