WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China Akan Pertahankan Sistem Perdagangan Multilateral Dengan Azam Yang Kuat – PM Li Qiang

27/10/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri China Li Qiang berkata pada Isnin bahawa China bertekad mempertahankan sistem perdagangan multilateral dengan azam yang lebih kuat serta bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menegakkan multilateralisme sejati, lapor Agensi Berita Xinhua.

Li menyatakan demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada Isnin.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa Presiden China Xi Jinping pernah berkata bahawa “hanya keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama menang-menang merupakan jalan yang betul untuk kemanusiaan.”

Sejak perjanjian RCEP berkuat kuasa lebih tiga tahun lepas, kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kalangan negara anggota terus diperkukuh walaupun momentum ekonomi global kekal lemah, manakala ekonomi serantau masih mencatat pertumbuhan yang agak pesat, katanya.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang proses itu, perjanjian RCEP telah memainkan peranan penting dan tidak ada penggantinya - memperluas ruang pembangunan bersama antara anggota, menyediakan mekanisme bagi melindungi keselamatan ekonomi serta membina platform untuk memajukan kerjasama inovasi.

Li berkata landskap ekonomi dan perdagangan antarabangsa kini sedang melalui perubahan yang kompleks dengan unilateralisme dan perlindungan perdagangan semakin meningkat, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada rantau ini.

Beliau menyeru semua pihak agar memperkukuh kerjasama untuk bersama-sama menangani cabaran dan memacu pembangunan serantau secara kolektif.

Li menegaskan bahawa China akan terus menyokong pemusatan ASEAN dan bersama semua pihak mempertahankan kestabilan sistem perdagangan multilateral serantau.

Beliau berkata China  bersedia untuk menghimpunkan kebijaksanaan dan kekuatan semua pihak bagi mencapai hasil kerjasama RCEP yang lebih praktikal serta bersama-sama membina masa depan cerah dengan kemakmuran dikongsi bersama.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan