WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Guangxi Perlu Tingkat Perdagangan, Pelaburan Untuk Perkukuh Kerjasama

17/10/2025 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru Malaysia dan wilayah Guangxi di China untuk "meningkatkan perdagangan dan memajukan pelaburan" sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala ke tahap yang tinggi.

Beliau berkata inisiatif itu ialah satu daripada tiga bidang tumpuan utama bertujuan memperdalam dan memajukan kerjasama antara dua pihak.

"Marilah kita membina ekosistem pengeluaran bersama dalam bidang elektronik, tenaga hijau dan pertanian. Dengan menghubungkan kekuatan logistik Guangxi dengan pelabuhan, zon bebas dan taman perindustrian Malaysia, kita dapat mewujudkan rantaian bekalan baharu dan pelaburan berkualiti tinggi.

"Kerjasama ini melengkapi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) oleh China," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada 21st World Guangxi Fellow Association Conference di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata dua bidang keutamaan lain ialah memperkembang sektor pelancongan secara mampan dan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sambil memupuk bakat muda.

Beliau berkata Malaysia berhasrat memperluas penerbangan terus antara Guangxi dengan pintu masuk utama Malaysia memandangkan pelancongan membantu memperkukuh hubungan antara rakyat dan memupuk persahabatan jangka panjang kedua-dua pihak.

"Dengan kemudahan perjalanan tanpa visa dan pakej bertemakan seperti warisan, eko, mesra Muslim dan pendidikan, kita mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk tinggal lebih lama dan berinteraksi dengan lebih mendalam. Menerusi promosi bersama dan latihan profesional, kita dapat memastikan pertumbuhan pelancongan kekal inklusif dan mampan," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata PKS ialah tulang belakang ekonomi dan dapat memacu inovasi serantau melalui kerjasama dalam bidang e-dagang, kewangan digital, logistik dan industri kreatif.

Beliau turut menyifatkan Guangxi dan Malaysia sebagai rakan semula jadi, yang terikat oleh faktor geografi, aspirasi bersama dan visi yang sama ke arah kemakmuran.

"Koridor darat–laut Guangxi menghubungkan pedalaman China dengan ASEAN, manakala lokasi strategik Malaysia menghubungkan ASEAN dengan ekonomi global yang lebih luas. Bersama-sama, kerjasama ini membentuk jambatan yang memperkukuh kesalinghubungan, memperluas perdagangan dan menggalakkan pertumbuhan bersama," katanya.

Mengenai kekuatan hubungan Malaysia–China, Ahmad Zahid berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM484.12 bilion pada 2024 atau 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar luar Malaysia terus berteraskan kepercayaan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat, dengan meletakkan China bukan sekadar rakan dagang, tetapi juga rakan strategik dalam membina Asia yang seimbang dan makmur.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menekankan rancangan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang pendidikan, teknologi, pelancongan dan ekonomi halal termasuk penubuhan Institut Malaysia–China di negara ini untuk melahirkan generasi muda yang berwawasan global dan bersedia untuk industri.

Beliau berkata Malaysia menyasarkan kehadiran 35.6 juta pengunjung antarabangsa pada 2026 bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia, dengan Guangxi dikenal pasti sebagai rakan utama dalam usaha itu.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata negara ini bersedia bekerjasama rapat dengan China untuk memperluas ekonomi halal, meliputi bidang seperti pembuatan, logistik, pensijilan dan pembiayaan.

Beliau berkata Malaysia, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengalu-alukan penyertaan syarikat China untuk meneroka pasaran halal ASEAN, Timur Tengah dan rantau lain.

Turut hadir pada acara itu ialah Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden Persekutuan Persatuan Guangxi Malaysia Leong Siew Kam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan