WILAYAH - UTARA > BERITA

Projek Kitar Semula Sisa Rawatan Air PBAPP Menang Anugerah Emas

17/10/2025 01:06 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan PBA Holdings Bhd memenangi anugerah emas bagi projek kitar semula sisa rawatan air (WTR) pada "Malaysian International Water Convention 2025" (MIWC 2025) yang berlangsung pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata projek yang dilancarkan pada Februari lepas itu menang di bawah kategori Ekonomi Kitaran dan Guna Semula Air.

"Projek kitar semula sisa sifar PBAPP di loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang sejak 2009 itu adalah pendekatan inovatif untuk menangani isu pengendalian WTR secara selamat.

"PBAPP telah memilih untuk melaksanakan penyelesaian kitar semula yang lebih mesra alam, kos efektif dan mampan dengan memproses serta mengitar semula WTR sebagai bahan mentah untuk menghasilkan bata simen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau proses kitaran menuai dan mengitar semula air supernatan itu dijalankan secara berterusan, iaitu 24 jam sehari serta tujuh hari seminggu dan proses berkenaan menghasilkan purata 25.4 juta liter sehari (JLH) air kitar semula di Sungai Dua pada September lepas.

Pathmanathan berkata projek itu juga menyokong kemampanan operasi bekalan air PBAPP dan air supernatan yang dituai secara kitaran boleh dianggap sebagai sumber air mentah kitar semula baharu untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik.

"Dari segi kemampanan operasi, Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) telah dibina untuk memproses kira-kira 91,250 tan WTR pada tahun ini, 105,850 tan (2026) dan 112,201 tan (2027).

"Projek itu berjaya mengitar semula SW204 secara efektif untuk kegunaan selamat selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh JAS," katanya.

Beliau berkata anugerah itu memperlihatkan Pulau Pinang dan PBAPP berupaya untuk menerajui pengurusan bekalan air mampan di Malaysia melalui pendekatan inovatif dalam pengendalian WTR.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan