WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pementasan Teater Genre Kanak-Kanak 'Di Mana Putra' Di Kelantan Jumaat, Sabtu Ini

15/10/2025 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan akan mementaskan teater kanak-kanak bertajuk Di Mana Putra di Auditorium Kompleks JKKN Kelantan pada Jumaat dan Sabtu ini.

JKKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pementasan itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, dengan penglibatan 65 pelakon daripada pelbagai peringkat usia, bangsa dan latar belakang.

“Selepas kejayaan pementasan Karya Agung: Tok Janggut ‘13 Liang’ pada tahun 2024, ASPEK tampil berani mempersembahkan sebuah teater kanak-kanak melalui naskhah baharu Di Mana Putra karya Lamia Aimal,” menurut kenyataan itu.

Pementasan Di Mana Putra menampilkan sentuhan magis yang menggabungkan watak animasi dan tokoh ikonik seperti Kapten Jack Sparrow, Peter Pan, Tok Kenali serta Sarjan Che Hassan (Tok Janggut) dalam penceritaan yang ringkas tetapi menghiburkan, khususnya untuk penonton kanak-kanak.

“Pementasan ini turut menyampaikan mesej positif berteraskan keharmonian dan nilai murni. Sesi persembahan berdurasi hampir dua jam ini kekal menarik dengan pendekatan interaktif yang melibatkan penonton bersama para pelakon,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kekuatan pementasan turut diserlahkan melalui barisan pelakon tempatan berbakat di bawah arahan kreatif Aqil Rozai, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang menjadikan produksi ini tampil segar dan berbeza.

Penonton juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah serta Anugerah Busana Terbaik yang akan dinilai pihak produksi.

Usaha itu sekali gus mengangkat martabat karya teater tempatan selain mempromosikan aktiviti kebudayaan sebagai produk pelancongan negeri Kelantan.

Majlis pementasan itu dijangka diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor, serta Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd Radzi Omar.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web rasmi JKKN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan