WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Komited Perkukuh Kerjasama Tingkat Keselamatan Tenaga Serantau - PETRA

15/10/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME Preparatory Meeting) bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mesyuarat itu menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota ASEAN dan Timor-Leste bagi memuktamadkan cadangan dasar serta hala tuju tenaga serantau yang akan dibentangkan semasa AMEM ke-43 pada 16 dan 17 Okt ini.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perbincangan itu menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam mempertingkat keselamatan tenaga, kemampanan serta integrasi tenaga di bawah Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN 2026-2030 (APAEC).

“Antara hasil utama mesyuarat itu ialah memperakukan sasaran baharu ASEAN di bawah APAEC 2026-2030 termasuk pengurangan intensiti tenaga sebanyak 40 peratus, penetapan 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) dalam jumlah sumber tenaga primer serta sasaran 45 peratus kapasiti penjanaan TBB dalam kapasiti terpasang menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat turut meluluskan beberapa inisiatif penting termasuk Memorandum Persefahaman Dipertingkat bagi Grid Kuasa ASEAN, Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN serta Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF) yang diterajui Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia (WB).

PETRA turut memaklumkan ASEAN telah mencapai 34.4 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu pada 2023, hampir menyamai sasaran 35 peratus menjelang 2025.

Dalam masa sama, penubuhan ASEAN School of Regulation (ASR) di Malaysia akan menjadi pusat kecemerlangan serantau bagi pembangunan kapasiti dan perkongsian pengetahuan dalam bidang peraturan tenaga serta integrasi tenaga boleh baharu.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk membentangkan beberapa syor utama kepada AMEM ke-43 termasuk memperaku APAEC 2026-2030, Keberhasilan Ekonomi Utama 2025 serta pengukuhan kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa seperti International Energy Agency (IEA), International Renewable Energy Agency (IRENA), ADB dan WB.

“Malaysia mengulangi komitmen untuk memacu peralihan tenaga yang inklusif, adil dan bersepadu dengan menekankan peranan pendigitalan, inovasi dan pembiayaan mampan sebagai pemangkin utama transformasi tenaga hijau ASEAN, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan