WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri Luar Thailand, Kemboja Adakan Perbincangan Di Malaysia Bagi Redakan Ketegangan Sempadan

13/10/2025 12:35 PM

BANGKOK, 13 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya dari Kemboja di Malaysia bagi membincangkan ketegangan sempadan antara kedua-dua negara pada Ahad.

Kementerian Luar Thailand (MFA) dalam kenyataan memaklumkan, Sihasak menyertai rundingan empat pihak yang turut dihadiri Malaysia, Amerika Syarikat dan Kemboja, dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut MFA, Sihasak sedang dalam lawatan kerja ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.

“Rundingan itu merangkumi perbincangan mengenai isu tertunggak, langkah ke hadapan untuk meredakan ketegangan serta memastikan kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata,” menurut kenyataan MFA di akaun rasmi X.

Kementerian itu berkata, Sihasak menegaskan kepentingan mekanisme dua hala yang telah menunjukkan kemajuan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini serta keperluan untuk meneruskan isu yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Menteri Luar juga menekankan bidang utama seperti pengunduran senjata berat, usaha pembersihan periuk api secara bersama, memerangi jenayah rentas sempadan serta kerjasama dalam pengurusan kawasan sempadan,” katanya.

Thailand dan Kemboja kini berusaha ke arah keamanan berkekalan di sepanjang sempadan 817 kilometer yang sekian lama menjadi punca pertikaian. 

Ketegangan terbaharu tercetus hingga melibatkan konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lalu.

Kedua-dua kerajaan kemudian bersetuju untuk meredakan keadaan, yang turut dipantau rapat oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta Amerika Syarikat dan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan