WILAYAH - TENGAH > BERITA

34 MRSM Laksanakan PDPR Susulan Penularan Influenza - Pengerusi MARA

12/10/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR,12 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengarahkan 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penularan jangkitan influenza dalam kalangan pelajar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah itu diambil selepas MRSM berkenaan mencatat lebih 60 pelajar bergejala influenza.

“Saya dan Pengurusan MARA terpaksa mengambil keputusan drastik tanpa menunggu Pejabat Kesihatan Daerah mengisytiharkan penutupan MRSM. Pengurusan MRSM yang mencatatkan lebih 50 pelajar bergejala dibenarkan mengadakan PdPR bagi memutuskan rantaian penularan virus influenza.

“Setakat ini, 34 MRSM telah mengadakan PdPR, membenarkan pelajar pulang ke rumah dan proses sanitasi dilakukan di semua MRSM terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi turut mendoakan agar semua pelajar kembali pulih dan penularan virus itu dapat dikekang serta rantaian penularannya diputuskan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.

Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan