WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026, Perbahasan LKAN 3/2025 Warnai Minggu Pertama Sidang dewan Rakyat 

12/10/2025 09:23 AM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lepas membuka tirai minggu pertamanya dengan pelbagai agenda penting antaranya pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026, kelulusan beberapa RUU serta mencatat sejarah menerusi sesi penerangan Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian (JKPK).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat membentangkan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI itu dan yang pertama di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan Rakyat’ memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan, selain pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).

Berdasarkan takwim Parlimen, Belanjawan 2026 akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin ini diikuti penggulungan menteri selama empat hari bermula 29 Okt, sebelum perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 14 hari bermula 5 Nov.

Minggu pertama persidangan Dewan Rakyat turut melakar satu lagi sejarah apabila memperuntukkan satu hari khas bagi sesi penerangan oleh pengerusi JKPK mengenai penyata jawatankuasa masing-masing dalam membincangkan isu semasa.

Sesi yang berlangsung pada Isnin itu menyaksikan tiga JKPK tampil memberikan penerangan iaitu Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (IPK), Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan serta Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat.

JKPK berkenaan menyoroti isu-isu penting termasuk insiden letupan paip gas di Putra Heights, potensi dan hala tuju pembangunan sumber air bawah tanah negara serta cabaran penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhurannya menyifatkan sesi berkenaan sebagai langkah reformasi Parlimen untuk memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan memperkasakan peranan jawatankuasa itu.

Minggu ini juga menyaksikan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa tidak dijalankan selepas Perdana Menteri dititah menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara dan persidangan diteruskan dengan sesi soal jawab lisan.

MQT yang diadakan setiap Selasa memperuntukkan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai isu semasa manakala sesi sama pada Khamis pula dijawab oleh menteri Kabinet.

Turut mencuri tumpuan minggu ini ialah perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 yang meneliti isu ketirisan, ketidakpatuhan peraturan serta kelemahan dalam pengurusan kewangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa pembentangan LKAN di Dewan Rakyat membuktikan mekanisme semakan kewangan negara berfungsi dengan berkesan.

“Hanya melalui perbahasan dan penelitian kita dapat memperbaiki kelemahan, memahami teguran dan menambah baik sistem, sekali gus membuktikan Kerajaan MADANI tidak takut kepada kritikan sebaliknya menerima pandangan untuk memperbaiki kelemahan,” katanya sambil menambah LKAN dibentang dan dibahas buat kali keenam di Dewan Rakyat.

Dua RUU diluluskan pada persidangan minggu ini melibatkan RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap, serta RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 yang bertujuan menambah baik proses pengeluaran dan pembaharuan lesen agensi persendirian.

Selain itu, beberapa isu turut menjadi perhatian Ahli Parlimen sepanjang minggu ini antaranya pendirian Malaysia terhadap pelan damai Gaza yang dicadangkan Amerika Syarikat, cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, proses pemberian taraf kewarganegaraan menerusi naturalisasi serta kontroversi majlis makan malam gala yang menghidangkan minuman beralkohol.

Sesi Penerangan Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengenai isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru turut mendapat perhatian, apabila beliau menjelaskan kawasan itu tidak pernah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan