SUNGAI PETANI, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026 akan memberi fokus kepada usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus menjayakan matlamat pasukan keselamatan dalam memelihara kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu, meningkat 2.92 peratus berbanding tahun ini, selari dengan usaha memastikan kesiapsiagaan ATM menghadapi pelbagai cabaran, sama ada tradisional atau bukan tradisional.
“Ini selari hasil daripada Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) yang menekankan penambahbaikan aset-aset ATM yang banyak berasaskan teknologi baharu selain kita berhadapan pelbagai cabaran termasuklah di Laut Cina Selatan,” katanya.
Beliau bercakap kepada selepas merasmikan majlis perluncuran Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025: Edisi Utara di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.
Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian terhadap kesejahteraan anggota ATM serta pengiktirafan terhadap sumbangan penting mereka.
Mohamed Khaled berkata sebanyak RM800 juta diperuntukkan bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters kediaman anggota ATM, meningkat berbanding RM600 juta tahun ini.
“Kami bersyukur kerana perkara ini diiktiraf kerajaan. Penyediaan dan penyelenggaraan kediaman anggota sangat penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya.
Bagi usaha pemodenan aset pertahanan, kementerian akan menerima 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Aerospace Industries (KAI) bermula awal 2027, yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Justeru, pembinaan rumah bagi anggota di pangkalan itu amat wajar.
Semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan dengan peruntukan RM500 juta, memanfaatkan hampir 800 anggota tentera.
Peruntukan keseluruhan RM21.7 bilion juga merangkumi penyelenggaraan dan perolehan aset pertahanan baharu, termasuk RM6 bilion untuk Medium, Short dan Very Short Range Air Defence, dua Multi Role Support Ship dan 10 kenderaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial