WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Sasar 50 Pakar Paliatif Dalam Dua Tahun, Perkukuh Penjagaan Akhir Hayat - Dzulkefly

11/10/2025 01:42 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pakar perubatan paliatif kepada 50 orang dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 34 pakar paliatif ketika ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata peningkatan itu bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang mendesak seiring dengan pertambahan populasi masyarakat menua dan peningkatan permintaan terhadap rawatan akhir hayat yang menyeluruh.

"Tahun ini sahaja, dianggarkan 180,000 rakyat Malaysia memerlukan rawatan paliatif. Malangnya, kapasiti kepakaran kita masih belum mencukupi, dengan hanya 34 pakar perubatan paliatif di hospital KKM (Kementerian Kesihatan) disokong oleh pakar di universiti dan sektor swasta," katanya pada sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata walaupun jumlah itu kecil, Malaysia tetap mempunyai sekurang-kurangnya seorang pakar di setiap negeri bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada penjagaan akhir hayat yang berkualiti.

"Kekurangan ini kita tangani melalui Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) di klinik kesihatan, serta melalui jaringan kerjasama dengan 27 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Hospis dan Rawatan Paliatif Malaysia (MHPCC) yang telah sekian lama menjadi rakan kongsi penting dalam menyediakan penjagaan komuniti," katanya.

Selain meningkatkan jumlah pakar, Dzulkefly berkata pelbagai langkah strategik turut dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan sistem penjagaan paliatif negara antaranya memperluas program Kumpulan Minat Khas (SIG) dalam penjagaan paliatif asas dan penjagaan akhir hayat asas bagi membina kemahiran dalam kalangan doktor yang belum mempunyai kepakaran khusus.

Beliau berkata latihan berterusan secara fizikal dan dalam talian bersama MHPCC juga dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai pengamal kesihatan dilengkapi kemahiran asas dalam penjagaan paliatif, selain memperkenalkan program subkepakaran dan diploma lanjutan untuk tenaga kesihatan.

Dzulkefly berkata modul atau kurikulum penjagaan paliatif juga dipertingkatkan di universiti awam serta institusi pengajian perubatan swasta.

"Pada masa ini, ia hanya ditawarkan di empat atau lima universiti. Kita mahu semua universiti awam serta institusi pengajian perubatan swasta memasukkan modul ini agar bakal doktor mempunyai pengetahuan asas dalam bidang ini sebagai persediaan menghadapi peralihan demografi ke arah masyarakat menua," katanya.

Beliau berkata Malaysia berada di tangga 38 daripada 80 negara dalam Quality of Death and Dying Index pada 2015 namun selepas pelancaran Atlas of Palliative Care 2025 pada April lepas, kedudukan Malaysia telah melonjak ke kelas kedua tertinggi dalam pembangunan paliatif mapan, di tangga ke-9 Asia Pasifik, dan ke-41 daripada 198 negara di dunia.

Pada majlis itu, Dzulkefly melancarkan dokumen Piawaian Penjagaan Paliatif Kebangsaan yang pertama di negara ini bagi memperkukuh kualiti penjagaan akhir hayat serta menyeragamkan perkhidmatan hospis di seluruh negara.

Beliau berkata dokumen tersebut menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap perkhidmatan dan kemudahan hospis memenuhi piawaian minimum serta memberikan rawatan yang konsisten, inklusif dan berteraskan belas ihsan kepada pesakit.

"Dengan ini, Malaysia akan bergerak setaraf dengan negara maju yang mengiktiraf penjagaan paliatif sebagai hak asasi manusia dalam (aspek) keselamatan kesihatan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan