WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026 Perkasa Tenaga Kerja, Tumpu Kebajikan, Tingkat Kemahiran - KESUMA

11/10/2025 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 memberi tumpuan utama kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran serta kesejahteraan tenaga kerja negara, selaras moto 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan.

KESUMA dalam kenyataan hari ini, memaklumkan akan menerima peruntukan sebanyak RM1.828 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan memperkasakan rakyat dan pasaran kerja.

“Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan meneruskan komitmen terhadap kesejahteraan pekerja antaranya dengan menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pekerja gig di sektor belum dimandatorikan agar mereka terus dilindungi dan mendapat jaminan keselamatan sosial.

“Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melengkapkan empat pusat rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan terbaharu Pulau Pinang dengan kapasiti 250 katil bagi membantu pekerja yang cedera untuk pulih dan kembali bekerja,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan insentif mobiliti sehingga RM1,000 disediakan kepada pencari kerja termasuk graduan baharu yang perlu berpindah untuk menerima tawaran pekerjaan bagi meringankan beban mereka, selain kadar maksimum bantuan rawatan hemodialisis dinaikkan daripada RM150 kepada RM170, melibatkan tambahan kos RM52 juta setahun.

Selain itu, perluasan Program Saringan Kesihatan PERKESO turut melibatkan pemandu pengangkutan awam dan barangan bagi memastikan tiada pekerja tercicir daripada perlindungan kesihatan.

Bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja, kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras ekonomi baharu Malaysia dengan peruntukan RM7.9 bilion manakala RM3 bilion daripada levi HRD Corp akan menawarkan tiga juta peluang latihan dalam sektor teknologi serta tenaga baharu.

KESUMA memaklumkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mendapat peruntukan RM650 juta untuk membiayai lebih 25,000 pelatih dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

Sementara itu, program Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diberi RM34 juta untuk melatih pekerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.

“Peruntukan RM10 juta disediakan untuk meningkatkan kemahiran dan mutu perkhidmatan pemandu teksi manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melabur dalam latihan AI dan keselamatan siber akan mendapat potongan cukai tambahan 50 peratus bagi menggalakkan pelaburan dalam kemahiran masa depan,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pasaran buruh negara menunjukkan perkembangan positif pada 2025, apabila kadar pengangguran mencatatkan tiga peratus iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad, manakala penyertaan tenaga kerja meningkat kepada 70.8 peratus selain penyertaan wanita dalam pasaran kerja terus meningkat melebihi 56 peratus. 

“Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dan peruntukan, tetapi mencerminkan falsafah KESUMA untuk membina tenaga kerja Malaysia yang sejahtera, berkemahiran tinggi dan berproduktif, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI demi kemakmuran rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan