WILAYAH - TENGAH > BERITA

MOF Cadang Kaji Semula Galakan Cukai Modal Teroka

10/10/2025 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan galakan cukai modal teroka dikaji semula bagi syarikat modal teroka (VCC), syarikat pengurusan modal teroka (VCMC) dan pemegang saham individu VCC untuk terus menggalakkan pelaburan oleh VCC.

Bagi VCC, MOF dalam lampiran yang dikeluarkan sempena pembentangan Belanjawan 2026 hari ini menyarankan kadar cukai korporat sebanyak lima peratus ke atas semua pendapatan VCC kecuali pendapatan faedah/keuntungan daripada simpanan/simpanan tetap/deposit.

Katanya VCC perlu melabur sekurang-kurangnya 20 peratus dana dalam syarikat teroka tempatan. 

Kementerian berkata galakan cukai adalah untuk tempoh 10 tahun atau mengikut baki hayat dana mulai dari tahun VCC mendapat perakuan pertama daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Perakuan pertama oleh SC hendaklah selewat-lewatnya pada 31 Dis 2035,” katanya. 

Menurut MOF galakan cukai ini diperluas kepada entiti yang diperbadankan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dan Akta Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan 2010 yang memilih untuk dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagi VCMC, katanya kadar cukai 10 peratus dicadangkan ke atas pendapatan bahagian keuntungan, fi pengurusan dan fi prestasi mulai tahun taksiran 2025 hingga 2035.

Bagi pemegang saham individu VCC, MOF menyarankan pengecualian cukai ke atas dividen yang dibayar, dikredit atau diagihkan kepada pemegang saham individu pada peringkat pertama mulai tahun taksiran 2025 hingga 2035.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan