KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menganggap Belanjawan 2026 sebagai positif dan satu pelan pragmatik yang mengiktiraf peranan penting perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memacu dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Presidennya, Datuk William Ng dalam satu kenyataan berkata Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mencerminkan keutamaan SAMENTA, terutamanya akses kepada pembiayaan, sokongan inovasi dan integrasi perdagangan serantau.
“Kami berbesar hati apabila kerajaan memperluaskan jaminan kredit menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) meningkat kepada RM30 bilion, berbanding RM20 bilion sebelum ini, dan mengekalkan komitmen RM50 bilion untuk sokongan pembiayaan PMKS secara keseluruhan.
“Ia secara langsung menyelesaikan salah satu daripada kebimbangan dalam kalangan PMKS, iaitu kekangan akses kepada pembiayaan yang mampu milik,” katanya.
Ng menambah, tumpuan berterusan kerajaan terhadap pendigitalan, penerapan kecerdasan buatan (AI) dan automasi juga sejajar dengan seruan SAMENTA supaya lebih banyak sokongan yang praktikal diberikan bagi meningkatkan produktiviti.
Beliau berkata peruntukan di bawah SME Bank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf keusahawanan sebagai asas kepada pertumbuhan inklusif.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa inisiatif itu mesti turut dinikmati usahawan mikro dan kecil di luar Lembah Klang, khususnya di pantai Timur, Sabah dan Sarawak,
Ng berkata tumpuan belanjawan terhadap kapasiti eksport dan integrasi serantau juga tepat pada masanya, kerana jaminan eksport SJPP sebanyak RM5 bilion, geran pembangunan pasaran sebanyak RM60 juta daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan perluasan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) ke ASEAN akan membantu PMKS Malaysia memperkukuhkan penyertaan mereka dalam rantaian bekalan serantau.
“Walaupun mereka (ASEAN) adalah jiran terdekat kita, perdagangan antara ASEAN masih rendah iaitu sekitar 21 peratus.
“Oleh itu, kami berharap inisiatif di bawah Belanjawan 2026 akan dapat menggalakkan perdagangan antara negara anggota, sekali gus mengurangkan risiko terhadap ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Selain itu, Ng berkata Belanjawan 2025 adalah belanjawan yang menyeluruh dan tepat, dengan langkah bermakna bagi memacu daya tahan PMKS dan daya saing ASEAN, dan jika dilaksanakan dengan berkesan, ia boleh membantu PMKS beralih daripada fasa bertahan kepada kepimpinan serantau.
“Apa yang penting sekarang ialah pelaksanaan, dan memastikan semua inisiatif ini benar-benar sampai kepada setiap PMKS, dan bukan hanya kepada mereka yang sudah mempunyai akses,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial