WILAYAH - TENGAH > BERITA

Majlis Media Malaysia Perlu Perjelas Proses Kepada Semua Organisasi Media - Fahmi

30/07/2025 03:46 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia perlu segera berhubung dengan semua organisasi media bagi memastikan proses akreditasi serta semangat kebebasan media difahami secara tepat dan jelas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian susulan kebimbangan yang disuarakan oleh beberapa wakil media berhubung soal ketelusan dalam penubuhan dan pengoperasian Majlis Media Malaysia.

Justeru Fahmi berkata satu pertemuan menyeluruh melibatkan semua organisasi media dicadangkan bagi memastikan ketelusan dan pemahaman bersama mengenai hala tuju majlis itu.

“Ada wakil-wakil media menyuarakan kebimbangan, mereka tidak mahu wujud kumpulan dan blok tertentu.

“Oleh itu, saya meminta pihak Majlis Media dan Lembaga Pengasasnya untuk segera berhubung dengan semua organisasi media agar mereka mendapat maklumat yang tepat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada November ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata kerajaan baru-baru ini telah menandatangani pewartaan rasmi bagi penubuhan Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh landskap media negara.

Lembaga itu dianggotai 12 individu yang terdiri daripada empat wakil masing-masing dari syarikat media, persatuan media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.

Penubuhan Majlis Media Malaysia merupakan antara inisiatif reformasi industri media yang sedang digerakkan oleh kerajaan bagi memastikan kebebasan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam sektor media kekal terpelihara dan diperkukuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan