KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pemilihan dua bakat seni Malaysia yang sedang meningkat naik sebagai penerima Khazanah Associate Artist Residency Programme (KAAR) 2025 di Acme Studios, London, bagi program 12 minggu bermula September tahun depan.
Peserta terpilih untuk KAAR 2025 ialah Lee Mok Yee, seorang artis pelbagai disiplin yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Amar Shahid Salehudin dari Terengganu.
Lee, 37, yang terpilih selepas memohon buat kali ketiga, berkata beliau teruja dipilih daripada 47 pemohon dan kini sedang merancang cara terbaik untuk memanfaatkan program tiga bulan di London itu.
“Saya fikir ini adalah peluang yang hebat untuk saya berinteraksi dengan komuniti di London dan juga mengakses platform yang lebih besar dan bercirikan antarabangsa.
“Apabila saya kembali ke Malaysia, saya berharap dapat berkongsi pengalaman saya dan terlibat dalam lebih banyak perbincangan bersama rakan-rakan artis — untuk merenung perjalanan saya dan meneroka potensi kerjasama,” katanya selepas Majlis Anugerah KAAR 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Amar Shahid, 39, berkata beliau menantikan peluang kerjasama atau pembelajaran di muzium-muzium utama di London seperti Muzium Victoria dan Albert, yang mempunyai jabatan fotografi yang sangat baik dan fokus kepada pemuliharaan — bidang yang sejajar dengan eksplorasi beliau terhadap batik dan fotografi praktikal pada masa ini.
“Saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya mula meneroka ke luar, mengembangkan amalan saya, belajar lebih banyak dan berkembang dengan lebih jauh,” katanya.
KAAR, bersama-sama dengan Khazanah Wolfson Press Fellowship (KWPF) dan program perintis Khazanah Sustainability Leadership, bertujuan untuk memperkasa bakat tempatan dengan ilmu, kemahiran dan rangkaian yang relevan bagi menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan ekonomi.
Inisiatif ini sejajar dengan strategi Advancing Malaysia dan kerangka pelaburan Malaysia iaitu 'A Nation That Creates', yang memacu hasil sosioekonomi ke arah memperkasa komuniti, membina kapasiti dan memperkukuh daya tahan negara.
Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata program KAAR membolehkan para peserta berhubung dengan rangkaian luas di London sambil membangunkan karya seni mereka.
“Dengan berada di sana, anda akan belajar banyak perkara dan berkembang sebagai seorang artis. Apa yang kami rasa menarik adalah apabila anda kembali dan berkembang secara berterusan, seluruh komuniti turut berkembang bersama anda.
“Dan saya percaya itulah tujuan utama inisiatif ini, iaitu untuk menjadikan industri dan para artisnya lebih bertenaga, lebih berfikir dan lebih berani,” katanya.
Sepanjang tempoh mereka di Fire Station Residency anjuran Acme, Khazanah berkata para artis akan mengambil bahagian dalam sesi bimbingan, bengkel dan kerjasama rakan seindustri, di samping berinteraksi dengan ekosistem seni yang lebih meluas di London.
"Tempoh itu juga bertepatan dengan Frieze Week, acara utama yang memberikan pendedahan penting kepada komuniti seni global.
"Sekembalinya ke tanah air, kedua-dua penerima akan menyumbang kembali kepada ekosistem seni tempatan melalui aktiviti bimbingan, pameran serta program awam, termasuk sesi Tea Talk dan kerjasama bersama Galeri Khazanah," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial