KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyuarakan kekesalan terhadap tindakan seorang ahli politik yang tidak menghormati kedudukan doa sebagai senjata rohaniah ummah ketika perhimpunan awam di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau berkata kandungan doa yang dibacakan di hadapan khalayak ketika perhimpunan itu bukan sahaja memuatkan tuduhan tidak berasas terhadap kepemimpinan negara, malah bersifat memecahbelahkan hubungan sesama umat Islam.
“Kandungan doa itu amat membimbangkan kerana ia boleh mendorong tindakan ekstremisme dan radikalisme dalam kalangan masyarakat awam,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial hari ini.
Beliau berkata doa adalah penghubung kukuh antara hamba dan Allah SWT, selain menjadi jalan memohon rahmat, keampunan dan kekuatan menghadapi pelbagai ujian kehidupan.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap mana-mana pihak yang tidak menghormati kedudukan doa dari sudut syariat Islam serta menggunakannya secara sempit demi kepentingan diri serta kumpulan tertentu.
Dalam pada itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) turut bimbang terhadap beberapa insiden semasa perhimpunan berkenaan.
Ketua Pengarahnya Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata pihaknya memandang serius perbuatan membaca Qunut Nazilah yang menyasarkan pemimpin negara, menyebarkan tuduhan liwat tanpa bukti serta memaparkan patung simbolik pemimpin sedang disebat, yang disifatkan sebagai perbuatan melampaui batas adab dan akhlak Islam.
“Doa ialah ibadah yang agung dan perlu dilakukan dengan hikmah serta keikhlasan, bebas daripada pengaruh emosi atau kepentingan politik," katanya.
Beliau turut menjelaskan penyebaran tuduhan liwat tanpa empat saksi lelaki adil ialah jenayah qazaf yang dilarang keras dalam Islam, manakala perbuatan memperlekehkan maruah peribadi melalui simbol penghinaan jelas mencemari nilai kesopanan masyarakat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial