WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Harimau Malaya Fokus Aksi Persahabatan - Arif Aiman

26/07/2025 04:32 PM

PETALING JAYA, 26 Julai (Bernama) -- Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi menegaskan fokus utama skuad kebangsaan kini tertumpu kepada dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin, September ini.

Perlawanan itu menjadi medan pemanas badan buat anak buah Peter Cklamovski menjelang baki aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, yang bersambung Oktober depan.

Arif Aiman turut enggan mengulas keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 dengan menyatakan sebagai pemain, tumpuannya adalah kepada persiapan pasukan menjelang aksi akan datang.

"Sebagai pemain, saya tak ambil tahu pun. Saya hanya fokus untuk apa yang ada di depan sekarang. Persediaan itu penting dan kami mahu bersedia sebaik mungkin menghadapi perlawanan persahabatan," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai duta sebuah jenama sukan terkemuka, hari ini.

Malaysia dijadualkan menentang Singapura pada 4 Sept sebelum bertemu Palestin pada 8 Sept dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1.

Mengulas peranannya sebagai antara tonggak tempatan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya, Arif menegaskan isu persaingan antara pemain tempatan dan pemain warisan tidak seharusnya timbul.

"Bagi saya, ia adalah mengenai soal mentaliti. Mentaliti itu penting. Tak kisahlah kehadiran pemain warisan, kita adalah di bawah satu bendera yang sama. Cuma kehadiran pemain warisan banyak membantu pasukan dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan