WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Waspada Pautan Palsu Bantuan Sara RM100 Minta Maklumat Peribadi - Teo

26/07/2025 02:36 PM

MUAR, 25 Julai (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan pautan palsu oleh scammer berkaitan bantuan RM100 secara sekali bayar menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang meminta maklumat peribadi orang ramai, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata modus operandi digunakan penipu itu ialah menyediakan pautan dengan poster yang direka sehingga kelihatan meyakinkan berserta logo Malaysia MADANI dan Bersama Malaysiaku.

“Melalui pautan BantuanNegara.com ini dinyatakan untuk semak maklumat rasmi mengenai bantuan RM100 SARA yang meminta maklumat peribadi pengguna. Semalam, Kementerian Kewangan maklumkan bahawa pautan ini adalah palsu.  

“Sekiranya maklumat ini daripada kerajaan, lazimnya pautan itu akan berakhir dengan gov.my. "Gov" maksudnya government (kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bakti Komuniti MADANI hari ini bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara berkenaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bertindak menyekat pautan itu.

Bagaimanapun, Teo menjelaskan penipuan seumpama itu sering berubah dengan mencipta laman baharu menggunakan nama hampir sama seperti “BantuanNegara1.com” atau “BantuanNegara2.com”, justeru beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati.

Beliau berkata tiada wang akan dimasukkan ke dalam e-dompet atau Touch ‘n Go, sebaliknya pemegang MyKad hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di premis yang menyertai program berkenaan seperti pasar raya Lotus’s, Mydin, 99 Speedmart dan kedai runcit terpilih, bagi mendapatkan manfaat.

"Fungsi utama MyKad dalam program ini hanyalah untuk pengesahan identiti penerima. Tiada kaitan dengan e-dompet. Jadi, jangan risau jika MyKad anda tidak aktif dalam aplikasi tertentu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai untuk merujuk laman web rasmi atau media sosial sahih agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.

“Slogan kita untuk berita palsu ialah ‘Tak pasti, jangan kongsi’, dan saya tambah hari ini ‘Tak pasti, jangan klik’,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan