SEREMBAN, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Laktasi Kebangsaan melancarkan Jelajah MADANI Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) Hospital Swasta 2025 yang menyaksikan penyertaan aktif 31 hospital di Malaysia yang diyakini mampu memberi impak positif kepada kesejahteraan ibu dan anak secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata menerusi sokongan serta kerjasama hospital awam dan swasta yang inklusif, usaha itu mampu memartabatkan kesihatan ibu dan anak seterusnya memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menyokong amalan penyusuan susu ibu.
Beliau berkata selaras dengan tema sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2025 iaitu 'Utamakan Penyusuan Susu Ibu: Wujudkan Sistem Sokongan Yang Mampan', penyusuan susu ibu adalah langkah awal yang bukan sahaja melindungi kesihatan bayi dan ibu malah mencerminkan prinsip Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.
"Penyusuan secara eksklusif menyumbang kepada pemakanan semula jadi yang selamat, bebas pencemaran dan menyokong kesihatan awam yang mampan... ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan bayi berasaskan industri yang memberi tekanan kepada alam sekitar.
"Sehingga kini, 31 daripada 180 hospital swasta telah mencapai pengiktirafan sebagai BFHI… tahniah kepada 20 hospital rangkaian KPJ Healthcare yang menjadi konsortium hospital terbanyak mendapat pengiktirafan tersebut " katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah BFHI Hospital Swasta 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pusat Laktasi Kebangsaan KKM Dr Siti Maisarah Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan KKM Zaiton Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zuraida Mohamed.
Lukanisman berkata terdapat 15 hospital di seluruh negara yang dalam fasa terakhir bimbingan Pusat Laktasi Kebangsaan bersama jabatan kesihatan negeri bagi mencapai pengiktirafan BFHI manakala 65 lagi dalam proses bimbingan awal.
Beliau juga berkata KKM komited dalam mendukung dan memperkukuh agenda penyusuan ibu secara menyeluruh selaras dengan matlamat Dasar Pemakanan Negara untuk mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan.
Lukanisman berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pelaksanaan BFHI juga mengangkat nilai keyakinan dan hormat iaitu sokongan menyeluruh kepada ibu menyusu adalah tanggungjawab bersama.
"Terdapat tiga teras objektif Jelajah MADANI BFHI ini iaitu memperluas promosi BFHI dalam memastikan lebih banyak hospital swasta menyertai gerakan penyusuan susu ibu secara menyeluruh dan konsisten.
"Selain itu, mengukuhkan sokongan komuniti agar ibu menyusu tidak berasa keseorangan dan mampu menyusukan anak dengan yakin serta menyemarakkan komitmen institusi kesihatan untuk melaksanakan dasar pemakanan negara dan memperkasakan kesihatan awam," katanya.
Beliau berkata komitmen itu sejajar dengan aspirasi negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 dan melangkah ke hadapan sebagai negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat berdasarkan prinsip Malaysia MADANI.
Antara hospital bakal dilawati bagi siri jelajah itu ialah Pusat Perubatan Pakar Sri Kota dan Hospital Pakar KPJ Klang (1 Ogos), Hospital Assunta dan Pantai Hospital Kuala Lumpur (19 Ogos), Hospital Pakar KPJ Kuching (29 Ogos), Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur, KPJ Tawakkal dan KPJ Sentosa KL (2 Sept), Hospital Adventist Pulau Pinang, Lam Wah Ee dan KPJ Penang (13 Sept), KPJ Sabah (18 Sept), KPJ Pasir Gudang dan Johor Specialist (22 hingga 23 Sept).
BFHI merupakan inisiatif global di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sejak 1991 dengan matlamat untuk melindungi, menyokong serta mempromosi penyusuan susu ibu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial