WILAYAH - SELATAN > BERITA

Dua Treler Muatan Kimia Terlibat Kemalangan, Satu Tangki Terjatuh Dalam Laut

24/07/2025 09:52 PM

JOHOR BAHRU, 25 Julai (Bernama) -- Satu kemalangan membabitkan dua treler yang membawa muatan bahan kimia jenis propylene glycol di Jambatan Link 2, KM0.8 Lebuhraya PLUS berlaku petang tadi, menyebabkan satu daripada tangki muatan terjatuh ke laut.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Nurmala Sideli berkata sejurus menerima panggilan kecemasan pada 5.41 petang, tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri digerakkan dan tiba di lokasi pada 5.57 petang.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan dengan satu daripada muatan treler berupa tangki bahan kimia telah terjatuh dari jambatan ke dalam laut.

"Operasi masih dijalankan ketika ini. Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan dalam kemalangan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular laman Facebook 'Both Checkpoint' beberapa gambar dan video kemalangan itu.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman dalam kenyataan berasingan berkata kedua-dua treler itu membawa bahan kimia dari Singapura menghala ke Malaysia.

“Akibat daripada kemalangan itu, treler berwarna merah yang membawa bahan kimia jenis propylene glycol telah terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Link 2 manakala sebuah lagi treler berwarna putih yang membawa bahan kimia jenis sodium hypochlorite tidak mengalami kebocoran atau kerosakan ketara," katanya.

Beliau berkata pemandu lori merah yang mengalami kecederaan pada tangan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Gelang Patah manakala pemandu lori putih tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya Pasukan Khas Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Larkin turut digerakkan ke lokasi bagi membuat penilaian dan memastikan tiada sebarang risiko kebocoran atau pencemaran bahan kimia dan operasi masih dijalankan.

“Pemerhatian awal di lokasi juga mendapati tiada kesan buih atau minyak pada permukaan air laut sekali gus menunjukkan tiada kebocoran daripada tangki treler merah yang terjatuh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan