PENAMPANG, 24 Julai (Bernama) -- Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA telah menceriakan dua pengamal media di Sabah yang ketika ini berdepan dengan masalah kesihatan.
Jurufotografi Jabatan Penerangan Negeri Sabah Vicky Sylvester Matanjang, 52, merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menziarahinya dan menyampaikan sendiri sumbangan itu di rumahnya di Kampung Hungab di sini hari ini.
“Saya berasa dihargai walaupun saya hanya jurufoto. Hari ini saya baru mula kerja namun buat kerja ringan sahaja kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya pada Mac lepas.
Beliau berkata inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat ditimpa musibah terutamanya pengamal media di seluruh negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil.
Wartawan Sabah Media Hafizul Andie Zulkarnain yang dalam proses pemulihan selepas pembedahan akibat komplikasi usus berpintal dan apendiks pecah pada Jun lepas berkata dia dijangka pulih dalam tempoh dua minggu lagi.
Hafizul, 35, merakamkan penghargaan dan terharu apabila menerima sumbangan itu yang disampaikan Nur-ul Afida di rumahnya di Sepanggar, Kota Kinabalu di sini pada Selasa lepas.
“Terima kasih kerana datang menziarahi saya dan menyampaikan sumbangan. Ini akan dapat membantu meringankan kos rawatan sepanjang proses penyembuhan,” katanya.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata persatuan media di Sabah boleh menghubungi urus setia Tabung Kasih@HAWANA dikendalikan Bernama untuk menyalurkan maklumat mengenai pengamal media yang berdepan masalah kesihatan mahupun kesempitan hidup.
“Saya ingin meminta kerjasama dan sokongan persatuan-persatuan media di Sabah memaklumkan kepada kita supaya kita dapat membantu rakan-rakan media yang sedang dalam kesusahan,” katanya.
Dalam pada itu, Mariah berharap SJA akan mendapat kepercayaan ahlinya yang juga pengamal media Sabah untuk menjadi penghubung antara HAWANA dan agensi lain supaya sumbangan berkaitan dapat disalurkan serta dinikmati mereka yang memerlukan.
“Kami akan mencadangkan nama mereka yang layak menerima sumbangan dan kemudian membantu menyalurkan maklumat diperlukan,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan antara inisiatif yang mencerminkan semangat MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan khususnya kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat namun kini diuji dengan cabaran hidup dan kesihatan.
Dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, tabung itu digerakkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Setakat ini, sebanyak 463 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial