BINTULU, 23 Julai (Bernama) -- Jambatan Jepak, yang dibuka kepada orang ramai pada Mac lepas, kini dikenali sebagai Jambatan Tun Abdul Taib Mahmud.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu semasa majlis perasmian jambatan berkenaan, yang bernilai RM466.7 juta, malam ini.
Beliau berkata keputusan itu diambil sebagai mengenang jasa Ketua Menteri Sarawak keempat itu membangunkan Bintulu.
“Andai kata beliau masih hidup, beliau pasti akan terpegun dengan jambatan yang kita rasmi pada malam ini,” katanya.
Abang Johari berkata Abdul Taib banyak menabur jasa kepada Sarawak antaranya dengan menubuhkan Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) iaitu agensi negeri yang bertanggungjawab merancang dan menyelia pembangunan di bawah inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan berjaya menarik pelaburan ke kawasan Taman Perindustrian Samalaju.
Abdul Taib, juga dikenali sebagai 'bapa pemodenan Sarawak' dan merupakan Yang Dipertua Negeri ke-7, meninggal dunia pada 21 Feb tahun lepas.
Jambatan ikonik itu adalah antara janji pembangunan yang dibuat oleh Abang Johari pada 2017 semasa sesi dialog bersama rakyat Bintulu sejurus mengambil alih tampuk kepimpinan negeri.
"Saya berjanji akan membina jambatan yang ikonik seperti (Jambatan Golden Gate) di San Francisco. Hari ini saya tunaikan janji itu. Jambatan ini bukan sekadar penghubung fizikal tetapi juga simbol perpaduan dan kemajuan rakyat," katanya.
Beliau turut mengimbau kenangan peribadi membabitkan isterinya, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang yang meninggal dunia bulan lepas, kerana Allahyarham lahir di Bintulu namun tidak sempat menyaksikan jambatan itu siap.
"Beliau izinkan saya berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat. Malam ini saya hadir bersama anak saya (Dayang Norjihan) untuk menyaksikan pembukaan jambatan ini bagi mengenang pengorbanan beliau," katanya.
Jambatan Tun Abdul Taib Mahmud, sepanjang 1.283 kilometer yang dibina merentasi Sungai Kemena, menghubungkan pusat bandar Bintulu dengan kawasan pesat membangun iaitu Jepak.
Ia memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua kawasan daripada lebih 30 minit kepada hanya beberapa minit.
Menjadi lambang ‘gelombang kedua’ pembangunan di Bintulu, jambatan itu turut memainkan peranan penting dalam membuka zon pembangunan baharu di Jepak termasuk penempatan pentadbiran negeri, kawasan komersial, projek perumahan dan pembangunan infrastruktur utiliti seperti saluran paip gas domestik.
Abang Johari berkata di bawah gelombang kedua, Bintulu bakal menyaksikan pembangunan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang merentasi kawasan itu hingga ke Samalaju sejajar dengan perancangan bandar rendah karbon dan mesra alam yang menjadi tonggak dasar pembangunan Sarawak.
Beliau juga berkata Sarawak telah diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai satu-satunya negeri di Asia yang disenarai sebagai Kluster Perindustrian Peralihan sekali gus menjadikan Bintulu sebagai pusat tumpuan pelaburan industri hijau dan teknologi tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial