WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kanak-kanak Setahun Tujuh Bulan Maut Digigit Anjing Di Sungai Buloh

23/07/2025 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dipercayai akibat digigit anjing dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.40 pagi, daripada seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Kanak-kanak itu dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak memberikan tindak balas. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.14 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati kesan calar dan luka pada bahagian kepala serta badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata mangsa dibawa ke hospital oleh ibu bapanya iaitu pasangan Orang Asli berusia 31 dan 29 tahun dari Kampung Orang Asli Jalan Hospital.

“Pasangan itu baru pulang dari tempat kerja kira-kira 8.15 pagi dan mendapati pintu rumah terbuka. Mereka kemudian menemukan anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 20 meter dari rumah, dengan beberapa ekor anjing berada berhampiran mayat,” katanya.

Difahamkan, mangsa berada di bawah jagaan pakciknya ketika kejadian dan dipercayai tidur di ruang tamu sebelum disedari hilang.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan