KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Malaysia dijangka menganjurkan rundingan pusingan kedua Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) pada November ini, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya pusingan pertama rundingan MEUFTA telah berlangsung di Brussels pada 30 Jun hingga 4 Julai 2025, melibatkan sebanyak 21 bab yang sedang dirundingkan dengan pihak Kesatuan Eropah (EU).
"Selain bab tradisional seperti perdagangan barangan, peraturan tempasal, kastam dan fasilitasi perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan EU turut memasukkan bab baharu seperti sistem makanan mampan, dan perdagangan dan pembangunan mampan yang belum pernah dirundingkan semasa rundingan itu dilancarkan buat pertama kali pada 2010," katanya.
MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) sama ada MITI bercadang mengadakan rundingan FTA Malaysia-EU dan Malaysia-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam tempoh terdekat ini serta tumpuan yang bakal diberikan.
Menurut kementerian, pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU mencecah RM218.9 bilion atau bersamaan US$47.9 bilion, dengan eksport bernilai RM115.8 bilion dan import bernilai RM103.1 bilion.
Eksport utama Malaysia ke EU termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan, minyak sawit dan produk berkaitan serta makanan diproses dan peralatan optikal dan saintifik, katanya.
MITI berkata, bagi tempoh 2021 hingga 2024, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi negara EU ke Malaysia berjumlah RM198.2 bilion atau bersamaan US$45.68 bilion.
Mengenai rundingan Malaysia-GCC, katanya pada 26 Mei 2025 Malaysia menandatangani kenyataan bersama dengan GCC mengenai pelancaran rundingan FTA antara Malaysia dan GCC dengan pusingan pertama rundingan dijadualkan pada September 2025.
Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan GCC mencecah RM101.8 bilion bersamaan US$22.3 bilion, dengan eksport bernilai RM25.7 bilion dan import bernilai RM76.1 bilion, kata MITI.
Eksport Utama Malaysia ke GCC termasuk produk E&E, barang kemas, produk petroleum, minyak sawit dan produk berkaitan serta makanan diproses.
Antara tumpuan utama FTA ini meliputi bab perdagangan barangan, peraturan tempasal, kastam dan fasilitasi perdagangan, perkhidmatan, pelaburan, ekonomi digital dan kerjasama ekonomi yang lebih luas yang bertujuan meningkatkan hubungan strategik antara Malaysia dan GCC sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang penting.
"Malaysia dijangkakan mendapat manfaat akses pasaran eksport yang lebih meluas di negara-negara ahli GCC. Ini secara langsung mengukuhkan kedudukan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan industri global dan seterusnya mengurangkan defisit perdagangan antara kedua-dua ekonomi," kata kementerian.
Menurutnya bagi tempoh 2021 hingga 2024, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan MIDA bagi negara GCC ke Malaysia berjumlah RM105.9 juta atau bersamaan US$24.1 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial