KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang akan dibuat esok, merupakan tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat yang sentiasa teguh bersama kerajaan dalam setiap langkah reformasi.
“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut berkongsi bahawa Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai penghargaan buat semua rakyat Malaysia pagi esok.
Anwar sebelum ini, ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam, berkata penghargaan luar biasa kepada rakyat itu akan diumumkan pada hari ini atau esok (Rabu).
Bagaimanapun, tiada perincian lanjut diberikan mengenai bentuk penghargaan yang bakal diumumkan.
Sementara itu, menurut infografik yang dikongsikan Anwar, pengumuman itu dijadual berlangsung 10.30 pagi esok dan akan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama termasuk RTM, Media Prima, Astro Awani, Bernama TV, TVS, TV AlHijrah serta platform media sosial seperti Facebook Live.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial